Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

October 11, 2026

Info X Reporters

84 PATI ditahan dalam 15 operasi imigresen di lima daerah Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 84 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam kira-kira 15 operasi penguatkuasaan di lima daerah negeri ini, sepanjang empat hari bermula 5 Oktober lalu. Operasi yang dijalankan di Tawau, Semporna, Sandakan, Keningau dan Kudat itu menyaksikan seramai 293 individu diperiksa bagi mengesan warga asing yang melanggar undang-undang imigresen. Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi berkenaan dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras kehadiran PATI selain mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen. Katanya, semua operasi yang dijalankan bermula 5 hingga 8 Oktober lalu turut diketuai beliau sendiri di beberapa lokasi strategik sekitar daerah terbabit. “Daripada keseluruhan tangkapan, seramai 51 individu adalah warga Filipina membabitkan 22 lelaki dewasa, 23 wanita dewasa serta enam kanak-kanak. “Selain itu, 28 warga Indonesia turut ditahan membabitkan masing-masing 14 lelaki dan wanita dewasa,” katanya dalam kenyataan, malam ini. Sh Sitti Saleha berkata, tangkapan selebihnya membabitkan tiga lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga India dan seorang wanita warga Vietnam. Katanya, JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan di seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen. “Operasi seumpama ini akan diteruskan secara berterusan di lokasi strategik bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan kemudahan imigresen tidak disalahgunakan,” katanya. Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara. Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan PATI boleh menyalurkan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) JIM. – Info X

October 10, 2026

Info X Reporters

Bilik guru, pejabat SK Langkon hampir musnah terbakar

KOTA MARUDU: Bilik guru, pejabat am dan stor Sekolah Kebangsaan (SK) Langkon, di sini, hampir musnah dalam kebakaran yang memusnahkan 95 peratus bangunan berkenaan, petang tadi. Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, kebakaran membabitkan bangunan separuh kekal dua tingkat berkeluasan kira-kira 119 meter persegi. Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, PPgB Debli Mamoi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.53 petang sebelum 13 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi. Katanya, pasukan bomba tiba pada jam 7.09 malam dan mendapati kebakaran membabitkan bilik guru, pejabat am serta stor sekolah berkenaan. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang kira-kira 61 meter dengan tiga pancutan air. “Sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan lori tangki air bagi memadam kebakaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Debli berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.38 malam sekali gus menghalang api daripada merebak ke bangunan berhampiran. Katanya, pasukan bomba kemudian menjalankan kerja pemeriksaan dan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.37 malam. “Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum diketahui. “Operasi turut dibantu tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB),” katanya. – Info X

October 10, 2026

Info X Reporters

Warga media Sabah, Semenanjung berentap di meja pool, papan dart

KOTA KINABALU: Kesibukan memburu berita bakal bertukar menjadi aksi memburu kemenangan apabila pengamal media Sabah dan Semenanjung berentap dalam Kejohanan Persahabatan Pool dan Dart di JPool Damai, di sini, pada 24 Oktober ini. Kejohanan julung kali anjuran Kelab Rekreasi Media dan Komunikasi Kota Kinabalu (MedComm KK) itu turut menyaksikan penyertaan Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS). Pengerusi MedComm KK, Christopher Bernard Maskilone berkata, kejohanan sehari itu bukan sekadar medan memburu kemenangan, sebaliknya menjadi platform mengeratkan hubungan persahabatan dan semangat kesukanan dalam kalangan peserta. Katanya, penganjuran kejohanan berkenaan juga memberi peluang kepada pengamal media dan komunikasi untuk berehat seketika daripada kesibukan tugasan harian menerusi aktiviti sukan yang santai. “Kita bukan sekadar mahu mencari pemenang, tetapi lebih penting untuk mengeratkan hubungan persahabatan, memupuk semangat kesukanan dan menikmati suasana pertandingan yang menyeronokkan. “Walaupun masing-masing sibuk dengan tugasan harian, kejohanan ini memberi ruang untuk kita berkumpul dan berinteraksi dalam suasana lebih santai,” katanya. Christopher berkata, kejohanan itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara pengamal media dan komunikasi dari Sabah serta Semenanjung, selain merapatkan kerjasama dengan agensi kerajaan negeri. Menurutnya, penganjuran aktiviti sukan seumpama itu juga mampu menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan ahli MedComm KK. “Dalam dunia komunikasi, teknologi dan maklumat yang bergerak pantas hari ini, kita tidak boleh bekerja secara bersendirian tanpa kerjasama pihak lain. “Program seperti ini penting kerana membuka ruang untuk bertukar pandangan, berkongsi maklumat dan idea mengenai isu semasa, selain mengukuhkan jaringan kerjasama antara semua pihak,” katanya. Beliau berharap kejohanan persahabatan itu menjadi titik permulaan kepada penganjuran lebih banyak aktiviti sukan dan rekreasi yang membabitkan pengamal media serta agensi berkaitan pada masa depan. – Info X

October 10, 2026

BERNAMA

Belanjawan 2027 bukti komitmen kerajaan perkasa pembangunan pedalaman Sabah – Arthur

KOTA KINABALU: Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan agenda pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi di kawasan pedalaman Sabah terus diberi keutamaan, kata Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup. Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata komitmen itu turut dapat dilihat menerusi peruntukan Persekutuan terbesar RM18.7 bilion kepada Sabah, peningkatan Pemberian Khas interim kepada RM1.5 bilion tahun ini serta langkah mempercepat penyelesaian isu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Katanya, sebagai wakil rakyat kawasan pedalaman, beliau juga mahu keutamaan diberikan terhadap pembangunan jaringan perhubungan dan prasarana asas yang merupakan perkara terpenting rakyat di kawasan itu. “Justeru peruntukan RM3.3 bilion bagi projek jalan raya di Sabah dan Sarawak, terutamanya sasaran penyiapan Sarawak-Sabah Link Road 1 serta Pan Borneo Sabah Fasa 1B menjelang penghujung tahun depan, bakal memberikan impak sangat besar kepada pergerakan rakyat dan kegiatan ekonomi setempat. “Peruntukan penyelenggaraan jalan Persekutuan bernilai RM350 juta khas untuk kontraktor tempatan kelas G1 hingga G4 di Sabah dan Sarawak bukan sahaja akan mempercepat pembaikan jalan awam malah menyokong usahawan berskala kecil,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook dalam kenyataan hari ini. Arthur berkata kerajaan juga komited mengurangkan kos sara hidup penduduk luar bandar menerusi peluasan program pengedaran barangan asas ke lokasi baharu seperti Kampung Terian di Penampang dan Kampung Sarawak bagi memastikan barangan harian kekal pada harga berpatutan. Katanya, kecekapan perkhidmatan keselamatan dan pentadbiran di pedalaman turut diperkasakan melalui pembinaan Pejabat Imigresen baharu di Keningau, kemudahan kuarters Depot Tahanan Imigresen Papar serta inisiatif menstabilkan bekalan elektrik menerusi pelaksanaan Sistem Statcom dan Talian Penghantaran Southern Link. Beliau berkata pelantikan wakil tetap Sabah dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berserta penyerahan kuasa kawal selia gas dengan pembiayaan RM600 juta amat bermakna dalam memperkukuh ekonomi negeri. Menyentuh aspek modal insan, beliau menyambut baik keputusan menambah bilangan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada 4,200 anak kelahiran Borneo setiap tahun serta penyediaan dana hampir RM1.3 bilion untuk menaik taraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak. Inisiatif menyokong usahawan kecil menerusi penambahbaikan pusat penjaja di Arena Niaga Kunak dan Hentian Telupid, penganjuran Tamu Desa, serta peluasan insentif pembajakan RM300 sehektar kepada pesawah tempatan diyakini mampu menyuntik semangat baharu kepada ekonomi komuniti. Beliau menyeru seluruh kepimpinan dan rakyat Sabah agar bersama-sama menjayakan pelaksanaan setiap inisiatif belanjawan berkenaan bagi memastikan tiada wilayah atau penduduk terpinggir daripada arus pembangunan nasional.–BERNAMA

October 10, 2026

Info X Reporters

Gudang simpanan kayu, papan musnah terbakar di Tawau

TAWAU: Sebuah gudang penyimpanan kayu dan papan di Kilang Hap Seng, Tanjung Batu Laut Log Pond, di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran, pagi tadi. Kebakaran kira-kira jam 6 pagi itu memusnahkan keseluruhan gudang jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 3,066 meter persegi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.09 pagi sebelum 17 anggota bersama empat jentera digerakkan ke lokasi. Katanya, sebaik tiba sembilan minit kemudian, pasukan bomba mendapati api sudah merebak dan membakar keseluruhan gudang berkenaan. “Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman dari bahagian hadapan dan belakang gudang menggunakan sumber air daripada pili bomba. “Operasi turut dibantu tujuh anggota Pasukan Bomba Komuniti Kampung Titingan yang menjalankan pemadaman dari bahagian kiri bangunan menggunakan pam angkut dan sumber air terbuka,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Jemishin berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.53 pagi selepas hampir dua jam operasi pemadaman dijalankan. Katanya, operasi diteruskan dengan kerja pemadaman dan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi sisa kebakaran yang boleh mencetuskan api semula. “Setakat ini, tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan. “Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X

October 10, 2026

Info X Reporters

Belanjawan 2027: Pemerkasaan modal insan Sabah dan Sarawak jadi agenda utama – Mustapha

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata Belanjawan 2027 meletakkan pemerkasaan modal insan Sabah dan Sarawak sebagai salah satu agenda utama. Beliau berkata, antara pengumuman Perdana Menteri yang dilihat kritikal dalam memperkasa modal insan Sabah dan Sarawak adalah melalui penggandaan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada 4,200 anak kelahiran kedua-dua negeri setiap tahun. Langkah itu, katanya bakal membuka peluang yang lebih luas kepada anak-anak Borneo untuk melanjutkan pengajian khususnya dalam bidang kritikal yang boleh memacu pembangunan sosio ekonomi di wilayah ini. Dalam aspek prasarana pendidikan, beliau berkata hampir RM1.3 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf 682 sekolah daif di seluruh negara, dengan tumpuan khusus kepada Sabah dan Sarawak. “Peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan semua jenis sekolah turut digandakan daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion, di samping pembinaan kemudahan baharu termasuk bangunan prasekolah di SK Bulu Silou, Keningau. “Dari sudut kebajikan pelajar, peningkatan Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200 setiap murid, peruntukan RM870 juta bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta pemberian elaun sara hidup RM2,500 kepada 90,000 pelajar Tingkatan 6 merupakan antara langkah yang dapat membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan. Katanya, pada Jumaat Perdana Menteri turut mengumumkan peningkatan bantuan tiket penerbangan FlySiswa MADANI daripada RM400 kepada RM500 yang disifatkan amat relevan kepada mahasiswa Sabah dan Sarawak yang melanjutkan pengajian di luar negeri masing-masing. Pada masa yang sama, katanya peruntukan RM800 juta bagi menaik taraf prasarana IPT serta peluasan Dapur Siswa MADANI akan membantu memperkukuh persekitaran pembelajaran dan kebajikan mahasiswa. “Saya turut menyambut baik empat penambahbaikan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 peminjam. Usaha ini memberikan kelegaan kewangan khususnya bagi mereka yang bekerja di Borneo Malaysia dimana pekerjaan bernilai tinggi masih lagi terhad. “Penambahbaikan tersebut adalah penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan bagi tahun 2027. Bayaran balik minimum hanya RM50 sebulan kepada peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan. “Diskaun 10 peratus kepada peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur dan potongan cukai kepada majikan yang membantu membayar balik pinjaman PTPTN pekerja bagi pembayaran yang dibuat mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028,” katanya. Selain itu, katanya anak muda Sabah dan Sarawak berpeluang menguasai bidang TVET menerusi peruntukan latihan bernilai RM8 bilion serta RM500 juta pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) . Bagi menguasai kemahiran masa hadapan pula, katanya Belanjawan 2027 membuka akses kepada 100,000 langganan AI percuma dan lebih 16,000 kursus digital. “Dalam usaha memastikan pendidikan yang lebih inklusif, peningkatan Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas daripada RM150 kepada RM200 sebulan, penambahan insentif kepada guru pendidikan khas serta pembukaan lebih banyak kelas Tabika Tunas Istimewa di kawasan desa juga merupakan perkembangan yang wajar diberikan perhatian. “Setiap anak, tanpa mengira keadaan fizikal, keupayaan pembelajaran atau tempat tinggal, perlu diberikan peluang pendidikan yang sewajarnya,” katanya. Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata pembangunan modal insan di Sabah dan Sarawak perlu dimulakan dengan ekosistem pendidikan yang berkualiti. Justeru itu, katanya kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja profesional dan kompeten sesuai keperluan semasa industri. “Belanjawan 2027 yang telah dibentang oleh YAB Perdana Menteri dilihat mampu menjadi pemangkin utama dalam memastikan usaha ini dapat dijayakan,” katanya. – Info X

October 10, 2026

Info X Reporters

Lebih sejam operasi pujuk wanita di tingkat tiga

PENAMPANG: Seorang wanita berusia 21 tahun berjaya dipujuk pasukan bomba dan polis selepas tindakannya berada di tingkat tiga sebuah bangunan di Donggongon, di sini, mencetuskan detik cemas awal pagi tadi. Kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu menyebabkan lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat. Ketua BBP Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.33 pagi sebelum pasukan tiba di lokasi dua minit kemudian. Katanya, sebaik tiba, anggota bomba mendapati wanita berkenaan berada di tingkat tiga bangunan terbabit. “Pasukan bomba bersama anggota polis kemudian berusaha memujuk wanita berkenaan supaya kembali ke tempat selamat. “Wanita itu akhirnya berjaya dipujuk sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Zeno berkata, operasi yang berlangsung lebih sejam itu tamat pada jam 5.55 pagi selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat. – Info X

October 9, 2026

Info X Reporters

Enam rumah terbakar di Taman Jumbo, tiga musnah 80 peratus

PUTATAN: Enam rumah teres satu tingkat di Taman Jumbo, Petagas, di sini, terbakar dengan tiga daripadanya musnah 80 peratus dalam kejadian petang tadi. Kebakaran jam 5.50 petang itu turut menyebabkan dua rumah mengalami kemusnahan masing-masing 70 dan 30 peratus, manakala sebuah lagi terbakar 20 peratus. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.55 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian. Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi lima minit kemudian dan mendapati kebakaran membabitkan beberapa rumah kediaman. “Pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan enam rumah jenis kekal yang masing-masing berkeluasan kira-kira 39 meter persegi. “Tiga rumah mengalami kemusnahan 80 peratus, manakala tiga lagi masing-masing terbakar 70, 30 dan 20 peratus,” katanya dalam kenyataan, malam ini. Musran berkata, seramai 36 anggota dan pegawai dari BBP Putatan, Kota Kinabalu serta Penampang terbabit dalam operasi pemadaman. Katanya, operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan empat pancutan air yang diperoleh daripada pili bomba berhampiran. “Pihak Sabah Electricity turut memutuskan bekalan elektrik di Taman Jumbo dan kawasan sekitarnya bagi memastikan keselamatan sepanjang operasi dijalankan. “Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.43 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.17 malam selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya. Beliau berkata, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Sabah Electricity. Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih belum diketahui. – Info X