April 29, 2026
Info X Reporters
1,729 peluang pekerjaan diwujudkan di POIC Lahad Datu, majoriti belia tempatan
KOTA KINABALU: Sebanyak 1,729 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan dalam sektor hiliran sawit dan biojisim di POIC Lahad Datu setakat ini, dengan kira-kira 85 peratus daripadanya diisi oleh warga tempatan termasuk belia dari kawasan DUN Silam dan Parlimen Lahad Datu. Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata peluang pekerjaan itu terhasil menerusi operasi 75 syarikat yang terlibat dalam pelbagai aktiviti industri seperti oleokimia, biodiesel serta penghasilan produk berasaskan biojisim. “Pelaburan dalam sektor ini bukan sahaja merancakkan pembangunan industri, malah membuka ruang pekerjaan yang luas kepada masyarakat tempatan, khususnya golongan belia,” katanya ketika menjawab soalan YB Datuk Mohd Yusof Apdal (Warisan-Silam) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah. Beliau menjelaskan, industri hiliran sawit dan biojisim di POIC Lahad Datu menawarkan pelbagai jenis pekerjaan merangkumi pelbagai tahap kemahiran dan kepakaran, termasuk operator pengeluaran dan pemprosesan, juruteknik penyelenggaraan mesin, penyelia operasi dan kawalan kualiti, serta pegawai teknikal dan kejuruteraan. Selain itu, sektor berkenaan turut menyediakan peluang dalam bidang sokongan seperti logistik, utiliti, keselamatan dan pentadbiran, sekali gus memperkukuh ekosistem pekerjaan di kawasan berkenaan.Dari segi pendapatan, Ewon berkata gaji yang ditawarkan adalah kompetitif bergantung kepada tahap kemahiran, kelayakan dan pengalaman pekerja. “Bagi pekerja am dan operator, pendapatan dianggarkan antara RM1,500 hingga RM2,600 sebulan, manakala juruteknik atau penyelia memperoleh sekitar RM2,500 hingga RM4,000 sebulan. “Bagi jawatan pegawai teknikal atau profesional pula, pendapatan adalah RM4,000 dan ke atas,” katanya. Beliau turut menegaskan bahawa sektor itu menyediakan laluan perkembangan kerjaya yang jelas kepada belia tempatan, termasuk peluang kenaikan daripada peringkat operator kepada penyelia dan seterusnya ke jawatan teknikal atau pengurusan melalui pengalaman kerja serta latihan berterusan. Mengulas soalan tambahan, beliau berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik melalui POIC dengan agensi latihan dan institusi kemahiran bagi menyediakan program pensijilan serta latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling). Katanya, usaha itu penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang. “Buat masa ini, tiada cadangan spesifik untuk mewujudkan pusat latihan satelit di Lahad Datu, namun kerajaan negeri terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan pihak industri bagi merealisasikan inisiatif berkenaan,” katanya. Beliau menambah, kewujudan POIC Lahad Datu dengan pelbagai operasi industri telah mewujudkan rantaian perkhidmatan dan industri yang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat. “Ini sekali gus membuka peluang kepada usahawan muda tempatan untuk terlibat dalam rantaian bekalan industri hiliran sawit di kawasan berkenaan,” katanya. – Info X
April 29, 2026
Info X Reporters
Kerajaan kawal penggunaan jentera, perketat garis panduan kurangkan risiko banjir di Tamparuli
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan mengambil langkah proaktif mengawal penggunaan jentera serta memperketat garis panduan pembangunan ladang bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan DUN Tamparuli. Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar, berkata pendekatan itu dilaksanakan menerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dengan menekankan pembangunan mampan yang mengambil kira pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan tanah secara berhemah. Menurut beliau, antara langkah utama ialah melarang penggunaan jentera berat jenis jentolak dalam kerja pembinaan teres di kawasan cerun kerana boleh meningkatkan risiko runtuhan dan hakisan tanah. “Sebaliknya, hanya penggunaan jengkaut dibenarkan bagi memastikan kerja tanah dapat dikawal dengan lebih selamat dan teratur,” katanya ketika menjawab soalan tambahan berkaitan isu banjir di kawasan Tamparuli pada persidangan DUN Sabah. Beliau menjelaskan, pembinaan teres turut dilaksanakan mengikut kontur semula jadi bukit bagi mengekalkan kestabilan struktur tanah serta meminimumkan gangguan terhadap landskap asal. Selain itu, kerajaan juga menetapkan zon penampan sekurang-kurangnya 40 meter dari tebing sungai bagi memelihara kawasan rezab riparian, sekali gus melindungi sumber air dan mengurangkan kesan terhadap ekosistem sungai. Jamawi berkata, langkah lain termasuk melaksanakan penanaman tanaman penutup bumi seperti Mucuna bracteata bagi mengurangkan hakisan, mengekalkan kelembapan tanah dan meningkatkan kestabilan struktur tanah. “Kerajaan turut melarang aktiviti peneresan di kawasan yang mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah bagi mengelakkan risiko kerosakan tanah yang lebih serius,” katanya. Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pada tahun 2025 terdapat satu projek sedang dibangunkan iaitu Projek TBB Pahu Jaya seluas 58.59 hektar. Bagi tahun 2026 pula, dua projek baharu akan dilaksanakan iaitu Projek TBB Sinopukan seluas 38 hektar dan Projek TBB Nulu seluas 52 hektar. Dalam pada itu, beliau berkata LIGS merupakan satu-satunya agensi berkaitan industri getah di Malaysia yang menerima pensijilan Forest Stewardship Council (FSC) bagi Pengurusan Hutan Mampan. Katanya, pengiktirafan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan industri getah dilaksanakan secara lestari tanpa mengabaikan kepentingan alam sekitar, termasuk perlindungan sistem sungai dan ekosistem sensitif. – Info X
April 29, 2026
Info X Reporters
30 rumah musnah terbakar
SANDAKAN: Sebanyak 30 rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Bokara, Kampung Karamunting, di sini, awal pagi hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu, api marak membakar penempatan seluas kira-kira 1.4 hektar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan 21 anggota ke lokasi kejadian. Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh hampir sejam dengan bomba menggunakan sumber air daripada tangki jentera dan pili bomba bagi mengelak api terus merebak. “Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kita berjaya menyelamatkan kira-kira 100 rumah daripada turut terbakar. “Operasi pemadaman kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 pagi,” katanya. Beliau berkata, operasi turut dibantu agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). – Info X
April 28, 2026
Info X Reporters
Seleweng petrol, diesel RM551,000 tumpas, empat ditahan
KOTA KINABALU: Kegiatan penyelewengan minyak bersubsidi terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menumpaskan dua operasi berasingan di Pulau Gaya dan Lok Kawi, di sini, hari ini. Dalam serbuan kira-kira jam 9.30 pagi di perairan Pulau Gaya, bot ronda RH29 menahan sebuah bot sebelum pemeriksaan menemukan 23 jerikin berisi kira-kira 570 liter petrol dipercayai disimpan tanpa permit sah. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis Ahmad Amri Abd Rahman berkata, nilai keseluruhan rampasan dalam kes itu dianggarkan RM302,225.90. Menurutnya, kira-kira sejam kemudian, hasil risikan membawa kepada serbuan di sebuah stor di Lok Kawi, Papar yang disyaki dijadikan lokasi penyimpanan minyak diesel. “Hasil pemeriksaan menemukan sebuah kenderaan Isuzu D-Max yang diubah suai, sebuah Toyota Hilux, skid tank, tangki IBC serta kira-kira 4,000 liter minyak diesel tanpa dokumen sah. “Nilai rampasan dalam kes kedua dianggarkan RM249,430,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes mencecah RM551,655.90, manakala empat lelaki warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan. “Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. Tambahnya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – Info X
April 28, 2026
Info X Reporters
Langgar kereta awam, cuba rempuh polis… empat suspek curi kabel ditahan
KOTA KINABALU: Cubaan empat lelaki mencuri kabel di Lido, di sini yang mencetuskan aksi kejar – mengejar hingga ke Tuaran, awal pagi tadi, turut disiasat sebagai cubaan membunuh selepas suspek dipercayai cuba merempuh kenderaan polis. Perkembangan itu disahkan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman yang memaklumkan semua suspek tempatan berusia antara 28 hingga 43 tahun berjaya ditahan, manakala seorang lagi masih diburu. Menurutnya, dalam kejadian jam 3.19 pagi itu, suspek dikesan melakukan kegiatan mencuri kabel di kawasan Lido sebelum cuba meloloskan diri sebaik kehadiran polis disedari. “Berlaku aksi kejar – mengejar hingga ke kawasan berhampiran Rugading, Tuaran apabila suspek memandu secara melawan arus dan berbahaya. “Malah, suspek turut cuba melanggar kenderaan polis beberapa kali dalam usaha melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, dalam cubaan meloloskan diri itu, kenderaan dinaiki suspek turut melanggar sebuah kenderaan orang awam hingga menyebabkan pemandunya cedera. Beliau berkata, seramai empat lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 43 tahun berjaya ditahan, manakala seorang lagi suspek masih diburu. “Hasil pemeriksaan, polis merampas sebuah Toyota Hilux bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel termasuk alat pemotong, chain block, besi yang diubah suai serta gulungan kabel. “Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan kesalahan mencuri kabel,” katanya. Terdahulu, empat lelaki disyaki mencuri kabel gagal melarikan diri apabila Toyota Hilux Vigo dinaiki mereka terbabit kemalangan selepas hilang kawalan sebelum merempuh sebuah Isuzu Invader berhampiran Kampung Berungis, Tuaran kira-kira jam 4.40 pagi. Kemalangan itu mengakibatkan lima mangsa cedera termasuk empat suspek dan seorang lelaki berusia 61 tahun yang memandu kenderaan terbabit sebelum semua mangsa dikeluarkan pasukan bomba dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. – Info X
April 28, 2026
Info X Reporters
8 lembu lesap bagaikan misteri, penternak rugi RM40,000
KOTA MARUDU: Kehilangan lapan lembu di dua kampung di Pitas, di sini, bagaikan misteri apabila haiwan ternakan itu dilaporkan lesap dalam tempoh berasingan bulan ini. Kes pertama dilaporkan pada 21 April lalu membabitkan kehilangan enam lembu di Kampung Telaga dengan anggaran kerugian sekitar RM30,000. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simun Lomudin berkata, laporan kedua diterima pada 28 April membabitkan kehilangan dua lagi lembu di Kampung Tambilidon. “Kes kedua ini dianggarkan menyebabkan kerugian kira-kira RM10,000, menjadikan jumlah keseluruhan lapan ekor lembu hilang. “Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, polis kini giat menjalankan usaha mengesan serta memburu suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri ternakan berkenaan. Beliau berkata, penternak dinasihatkan supaya meningkatkan langkah keselamatan termasuk memantau kawasan ternakan dan tidak membiarkan haiwan berkeliaran tanpa kawalan. “Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Romio Wong di talian 019-6851343 atau Inspektor Sathes A/L Maniam di talian 017-9689231,” katanya – Info X
April 28, 2026
Info X Reporters
ECoS bongkar penyelewengan elektrik di penempatan setinggan
SANDAKAN: Aktiviti kecurian dan penyalahgunaan bekalan elektrik di dua penempatan setinggan di daerah ini terbongkar selepas diserbu dalam Operasi Bersepadu yang diketuai Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), minggu lalu. Operasi selama dua hari pada 22 dan 23 April itu disertai lebih 50 pegawai daripada pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) serta Sabah Electricity. Ketua Pegawai Operasi ECoS, Ir Ts Ridwan Saham, berkata hasil operasi berkenaan membawa kepada pembukaan enam kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024. Beliau berkata, antara kesalahan dikesan termasuk mencuri elektrik, menjual bekalan elektrik secara haram serta membuat penyambungan tanpa kebenaran. “Kes mencuri elektrik disiasat mengikut Seksyen 61(3) yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. “Bagi kesalahan penjualan elektrik secara haram, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8(1)(b) dengan hukuman lebih berat iaitu denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan. Menurutnya, kesalahan penyambungan elektrik tanpa kebenaran pemegang lesen, iaitu Sabah Electricity pula disiasat di bawah Seksyen 61(8), yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. Dalam pada itu, Ridwan berkata satu kes berkaitan kecurian dan penjualan elektrik secara haram di penempatan setinggan di Sepanggar kini dalam proses pendakwaan di Mahkamah Kota Kinabalu. Beliau menegaskan ECoS akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang kegiatan penyalahgunaan elektrik, sekali gus memastikan sistem bekalan tenaga di Sabah kekal selamat dan berintegriti. – Info X
April 28, 2026
Info X Reporters
Kejayaan dasar diukur melalui manfaat kepada rakyat akar umbi — ADUN Paginatan
KOTA KINABALU: Kejayaan sesuatu dasar kerajaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan perancangan atau pengumuman semata-mata, sebaliknya perlu diukur melalui sejauh mana manfaatnya benar-benar dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman berkata, pendekatan itu penting khususnya bagi memastikan pembangunan negeri bersifat inklusif dan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar. “Saya menyokong aspirasi kerajaan, namun bagi rakyat di pedalaman, kejayaan sesuatu dasar bukan terletak pada slogan atau dokumentasi, tetapi pada hasil yang boleh dirasai dalam kehidupan harian mereka,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Menurutnya, ukuran sebenar kejayaan dasar adalah apabila rakyat menikmati kemudahan asas seperti jalan yang boleh dilalui, bekalan air bersih, elektrik yang stabil serta peluang pendidikan dan ekonomi yang lebih baik. Beliau berkata, masih terdapat kawasan luar bandar seperti di Paginatan yang berdepan kekangan infrastruktur asas, sekali gus menjejaskan keupayaan rakyat untuk keluar daripada kemiskinan. Katanya, keterasingan fizikal akibat jalan tidak sempurna dan kemudahan yang terhad turut memberi kesan langsung kepada akses pendidikan, kesihatan serta pemasaran hasil pertanian. Dalam pada itu, Rusdin menegaskan pembangunan luar bandar perlu terus menjadi agenda utama kerana hampir separuh penduduk Sabah masih tinggal di kawasan berkenaan. “Pembangunan tidak boleh berhenti di jalan utama sahaja, tetapi mesti sampai ke lorong-lorong kampung agar tiada rakyat yang tercicir,” katanya. Beliau turut menyentuh keperluan memperkukuh ekonomi luar bandar melalui pembangunan sektor pertanian dan peningkatan rantaian nilai agar penduduk tidak hanya bergantung kepada ekonomi sara diri. Selain itu, beliau berkata aspek pendidikan juga perlu diberi perhatian serius termasuk memastikan bekalan elektrik dan capaian internet mencukupi bagi menyokong pembelajaran generasi muda. Dalam pada itu, beliau menegaskan tuntutan hasil 40 peratus negeri juga berkait rapat dengan keupayaan kerajaan melaksanakan pembangunan yang lebih menyeluruh dan berkesan. “Apabila negeri mempunyai sumber kewangan yang mencukupi, barulah isu asas seperti jalan, air dan kemudahan awam dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya. Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar memastikan setiap dasar yang dirangka benar-benar memberi impak kepada rakyat, khususnya di kawasan pedalaman, selaras dengan matlamat pembangunan seimbang di Sabah. – Info X