Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

April 3, 2026

Info X Reporters

Ops Tiris 4.0: KPDN, PDRM ‘turun padang’ pantau stesen minyak di Beaufort

BEAUFORT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperketat pemantauan apabila turun padang melaksanakan Ops Tiris 4.0 di beberapa stesen minyak sekitar daerah ini. Operasi bersepadu itu memberi tumpuan kepada usaha mengekang penyelewengan bahan api, khususnya diesel yang sering menjadi sasaran aktiviti haram, selain memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan jualan bahan api bersubsidi. Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Beaufort, Julie Julhani berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan undang-undang sentiasa dipatuhi. Menurutnya, pemeriksaan merangkumi semakan rekod stok, transaksi jual beli bahan api serta pematuhan penjualan petrol RON95 yang hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia melalui sistem subsidi BUDI MADANI. “Pemantauan berterusan ini penting bagi memastikan tidak berlaku sebarang ketirisan yang boleh menjejaskan bekalan dan kepentingan rakyat. “Dalam operasi sama, pasukan penguat kuasa turut meneliti had kuantiti jualan mengikut kategori kenderaan selain mengenal pasti kenderaan mencurigakan yang berpotensi terlibat dalam aktiviti penyelewengan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Sementara itu, beliau berkata PDRM turut memberi amaran tegas bahawa sebarang ancaman terhadap pegawai yang menjalankan tugas rasmi tidak akan dikompromi. “Operasi bersepadu itu akan terus dilaksanakan dengan penglibatan pelbagai agensi bagi memperkukuh kehadiran di lapangan serta meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap usaha kerajaan membanteras penyelewengan bahan api. “Orang ramai juga diseru menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melalui saluran rasmi KPDN bagi membantu penguatkuasaan yang lebih berkesan,” katanya. – Info X

April 2, 2026

Info X Reporters

Lelaki ‘tanpa kewarganegaraan’ didakwa masuk Sabah tanpa dokumen sah

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang ditahan polis kerana tiada dokumen pengenalan diri sebelum dikaitkan dengan kes tiada kewarganegaraan pada Mac lalu didakwa atas pertuduhan memasuki Sabah tanpa dokumen yang sah. Tertuduh, Mohd Nico Ansboy, 18, yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Khamis, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Hurman Hussain. Dia berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas yang sah di sisi undang-undang untuk memasuki Sabah. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan disebat tidak lebih enam sebatan. Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan pada jam 3 petang, 15 Mac lalu di kawasan 1Borneo, dekat sini. Mahkamah kemudian menetapkan 6 April ini bagi permohonan jaminan sementara menunggu peguam yang mewakili tertuduh, manakala 30 April untuk pengurusan kes pra-perbicaraan. Pada prosiding pertuduhan itu, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin. Pegawai Pendakwa kes itu, Inspektor Deanivo Sittin, membantah jaminan kerana Nico tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, selain kes seumpama itu lazimnya tidak diberikan jaminan. Tertuduh yang mendakwa mempunyai peguam, memohon jaminan dengan mendakwa dilahirkan di Sabah, namun gagal mengemukakan sebarang dokumen bagi membuktikan dakwaannya. – Info X

April 2, 2026

Info X Reporters

Bayi lelaki ditinggalkan di Teluk Likas, waris masih dicari

KOTA KINABALU: Seorang bayi lelaki yang ditemui orang awam di Taman Awam Teluk Likas, di sini, pada Disember tahun lalu kini memerlukan pemeliharaan dan pelindungan, selain usaha mengesan ibu kandung serta warisnya masih giat dijalankan. Menerusi Facebook rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sabah hari ini, bayi berkenaan dikenali sebagai Arfan Bahri dilahirkan pada 20 Disember 2025 dan ditemui pada 22 Disember sebelum dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut. Menurut kenyataan itu, kanak-kanak terbabit dirujuk sebagai memerlukan pemeliharaan dan pelindungan di bawah Seksyen 17(1)(e) Akta Kanak-Kanak 2001. “Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu pada 17 Mac lalu turut memerintahkan bayi itu ditempatkan sementara di bawah jagaan individu yang layak mengikut Seksyen 25 akta sama. “Pelindung turut mendapat pengecualian di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 bagi membolehkan siaran media dibuat untuk tujuan mengesan ibu kandung atau waris kanak-kanak ini,” menurut kenyataan itu. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu dengan menghubungi Pelindung, Musawer bin Madsan di talian 088-269821 atau hadir ke Pejabat Kebajikan Am Bahagian Kota Kinabalu. Usaha itu penting bagi membantu jabatan membuat keputusan terbaik demi penempatan serta kebajikan kanak-kanak berkenaan. – Info X

April 2, 2026

Info X Reporters

‘Kereta kabel ke Gunung Kinabalu’

KOTA KINABALU: Mungkinkah satu hari nanti Gunung Kinabalu boleh dikunjungi dengan menaiki kereta kabel, berbanding hanya mendaki yang mengambil masa panjang ketika ini. Kemungkinan itu berdasarkan minat pihak tertentu untuk membangunkan kemudahan itu dan membentangkannya kepada kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri. Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin berkongsi kunjungan hormat sebuah syarikat yang menyatakan minat berkenaan. Syarikat terbabit, Jesselton International Sdn Bhd, katanya membentangkan cadangan projek Kinabalu Cable Car dan laporan kajian kebolehlaksanaannya bagi di Gunung Kinabalu, Kundasang. Beliau bagaimanapun menegaskan sebarang cadangan pembangunan di Gunung Kinabalu perlu dinilai secara teliti dan menyeluruh dengan memberi keutamaan kepada aspek kelestarian alam sekitar serta pemeliharaan warisan semula jadi negeri. Katanya, sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah UNESCO, Gunung Kinabalu mempunyai nilai biodiversiti dan kepentingan ekologi tinggi yang mana sebarang pembangunan perlu mematuhi piawaian ketat termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA) yang komprehensif. “Kementerian menyokong pembangunan yang membawa manfaat ekonomi dan meningkatkan pengalaman pelancongan, namun ia mesti dilaksanakan secara terkawal dengan mengambil kira kapasiti tampungan serta mengelakkan tekanan berlebihan terhadap ekosistem sensitif,” katanya. Namun, katanya di peringkat global, terdapat contoh pembangunan kereta kabel di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang dilaksanakan dengan kawalan ketat dan pendekatan berasaskan pemuliharaan. “Antaranya Skyrail Rainforest Cableway di Wet Tropics of Queensland, Australia; Teleférico del Teide di Teide National Park, Sepanyol dan Tianzi Mountain Cableway di Zhangjiajie, China (Wulingyuan Scenic Area) yang berfungsi sebagai akses terkawal ke kawasan sensitif. “Selain itu, kemudahan berkenaan juga ada di Table Mountain Aerial Cableway di Afrika Selatan dan Sugarloaf Cable Car di Rio de Janeiro, Brazil, menunjukkan bagaimana pembangunan infrastruktur pelancongan boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan nilai biodiversiti dan warisan landskap, dengan penekanan kepada pengurusan pelawat secara terkawal serta impak minimum terhadap alam sekitar,” katanya. Jelasnya, pengalaman antarabangsa menunjukkan kemudahan seperti itu boleh membantu mengurangkan tekanan aktiviti pendakian, di samping meningkatkan akses pelancongan secara lebih tersusun dan mampan, namun pelaksanaannya mesti berlandaskan sains, kawalan ketat dan prinsip pemuliharaan. Beliau menekankan bahawa pendekatan ‘conservation first’ perlu menjadi asas dalam menilai cadangan projek itu, di samping memastikan tiada gangguan terhadap habitat hidupan liar serta integriti kawasan Taman Kinabalu. Selain itu, cadangan projek itu juga katanya perlu mengambil kira kepentingan komuniti tempatan di Kundasang dan Ranau, termasuk peluang ekonomi, penyertaan komuniti serta perlindungan nilai budaya dan spiritual yang berkait rapat dengan Gunung Kinabalu. Jafry turut menegaskan kepentingan penggunaan teknologi hijau, reka bentuk mesra alam serta pematuhan terhadap amalan terbaik antarabangsa dalam pelancongan mampan. “Sebarang keputusan berkaitan cadangan ini akan dibuat secara berhati-hati, berasaskan data dan sains, serta melalui libat urus bersama semua agensi berkaitan termasuk Sabah Parks dan pihak berkepentingan lain,” katanya. Beliau berkata, kementeriannya kekal komited memastikan keseimbangan di antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar, selaras aspirasi Sabah sebagai destinasi pelancongan berimpak tinggi dan lestari. – Info X

April 2, 2026

Info X Reporters

23 pondok haram di Bukit Sepanggar diroboh

KOTA KINABALU: Sebanyak 23 struktur haram yang dibina di kawasan hutan berbukit berhampiran Taman Bukit Sepanggar dan Kampung Bandulan, di sini dirobohkan dalam operasi bersepadu oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), semalam. Operasi bermula kira-kira jam 1.45 petang itu membabitkan 11 anggota Jabatan Penguatkuasaan DBKK dengan kerjasama enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Manggatal dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. DBKK dalam kenyataan, hari ini memaklumkan hasil pemeriksaan di lokasi mendapati semua struktur sementara berkenaan dibina menggunakan kanvas dan batang kayu di kawasan berbukit serta curam. “Struktur berkenaan dipercayai dijadikan tempat persembunyian bagi mengelak tindakan penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI). “Selain itu, kawasan berkenaan juga didapati tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik serta berada dalam keadaan tidak terurus dan berisiko dari aspek keselamatan serta kebersihan,” katanya. Sehubungan itu, DBKK dengan kerjasama PDRM mengambil tindakan meroboh dan mengalihkan kesemua struktur haram terbabit. “Seorang lelaki dewasa turut ditahan bagi tujuan siasatan lanjut oleh pihak polis. “Operasi berakhir kira-kira jam 6 petang dalam keadaan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. Sementara itu DBKK memaklumkan pihaknya akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan kawasan bandaraya bebas daripada penempatan haram, selain memelihara keselamatan dan kesejahteraan awam serta kelestarian persekitaran. “DBKK akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan kawasan bandaraya bebas daripada penempatan haram. “Selain itu, langkah berkenaan juga bagi memelihara keselamatan dan kesejahteraan awam serta kelestarian persekitaran,” katanya. – Info X

April 2, 2026

Info X Reporters

Piala Cabaran: Sabah FC buru bekalan terbaik di Pulau Pinang

KOTA KINABALU: Sabah FC menyasarkan keputusan positif pada aksi pertama final Piala Cabaran MFL menentang Pulau Pinang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, Sabtu ini. Ketua jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido, berkata pasukannya kini berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik hasil latihan berterusan bagi menghadapi perlawanan penting itu. Beliau berkata, persiapan rapi yang dilakukan membolehkan pasukan memberi tumpuan kepada aspek teknikal dan taktikal bagi memastikan Sabah FC tampil lebih bersedia. “Kita melalui tempoh latihan yang baik dan membuat persiapan sebaik mungkin. Kita menjangkakan dapat mengawal lebih banyak aspek permainan dalam perlawanan ini,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis. Garrido berkata, sasaran utama pasukan adalah untuk meraih kemenangan, namun beliau mengakui final yang berlangsung secara timbal balik memerlukan pendekatan lebih strategik. “Ini adalah final dua perlawanan, jadi tidak ada keputusan muktamad selepas aksi pertama. Keputusan yang baik adalah penting, tetapi bukan penentu sepenuhnya,” katanya. Mengulas mengenai Penang FC, beliau menjangkakan lawan akan tampil dengan motivasi tinggi memandangkan kepentingan aksi final itu. “Ini adalah perlawanan akhir dan kita menjangkakan mereka akan sama bersemangat seperti Sabah FC,” katanya. Dalam pada itu, beliau berharap pemain Sabah FC dapat mempersembahkan aksi terbaik untuk penyokong, selain menyuntik semangat menjelang aksi timbal balik di Stadium Likas 19 April ini. “Kita mahu memberikan persembahan yang baik supaya penyokong lebih bersemangat untuk hadir dan menyokong pasukan pada perlawanan kedua nanti,” katanya. – Info X

April 2, 2026

Info X Reporters

JKR digesa ambil tindakan segera tangani kemalangan di hadapan SMK Kinarut

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa mengambil tindakan segera bagi menangani insiden kemalangan yang sering berlaku di laluan berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut di Papar. Gesaan itu disuarakan pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azrul Ibrahim susulan kemalangan terbaharu di kawasan itu pada Rabu yang menyebabkan seorang pelajar perempuan cedera dirempuh pacuan empat roda. Katanya, susulan kemalangan itu, beliau menghubungi Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti negeri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam untuk meminta pihaknya melalui JKR Sabah mengambil tindakan menangani insiden kemalangan di laluan berhampiran sekolah. “Susulan kejadian ini, saya telah menghubungi YB Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah bagi memaklumkan situasi tersebut serta memohon agar pihak JKR Sabah mengambil tindakan segera terhadap isu kemalangan yang kerap berlaku di kawasan berkenaan. “Saya juga telah berhubung dengan Jurutera JKR Daerah Papar bagi memastikan langkah intervensi dapat dilaksanakan secepat mungkin demi keselamatan pengguna jalan raya khususnya pelajar sekolah,” katanya menerusi perkongsian di Facebook. Beliau bersama pengetua dan Yang Dipertua PIBG SMK Kinarut turut menziarahi pelajar terbabit yang dirawat di Hospital Queen Elizabeth, di sini. Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Rabu, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun parah selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di hadapan SMK Kinarut. Mangsa dilaporkan patah kaki kiri dan mengalami kecederaan di bahagian kepala. – Info X

April 2, 2026

Info X Reporters

Inkues Zara: Cara kematian arwah konsisten tindakan akhiri nyawa sendiri – Pakar Perunding Psikiatri Forensik

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner pada Khamis diberitahu cara kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir konsisten dengan tindakan mengakhiri nyawa sendiri, berdasarkan bedah siasat psikologi. Perkara itu dinyatakan pakar perunding psikiatri forensik, Dr Chua Sze Hung, 43 dalam kenyataan saksi yang dibacakan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan. Dr Chua adalah saksi ke-67 inkues kematian Zara Qairina yang memberi keterangan di Mahkamah Koroner bagi mencari punca kematian arwah selepas ditemui tidak sedarkan diri pada awal pagi 16 Julai tahun lalu dan meninggal dunia keesokannya. Saksi berkenaan menyediakan, menandatangani dan mengecap laporan psikiatri setebal 84 muka surat bertarikh 2 Februari lalu untuk mahkamah, yang memfokus kepada isu kebarangkalian bunuh diri dan keadaan berkaitan arwah. Katanya, antara maklumat dan dokumen disemak, termasuk diari Zara Qairina, lokasi kejadian dan laporan bedah siasat oleh pakar perunding patologi forensik, Dr Jessie Hiu. Saksi turut menyemak laporan kaunseling, lawatan ke asrama dan bilik asrama arwah Zara, temu bual bersama ahli keluarga, kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha serta sekolah rendah mangsa. Beliau berkata, hasil penelitiannya terdapat maklumat yang menunjukkan gangguan emosi, kemarahan melampau, tingkah laku mencederakan diri sendiri, hubungan interpersonal yang tidak stabil dan ketakutan akan ditinggalkan. Bagaimanapun, katanya maklumat itu tidak mencukupi untuk membentuk diagnosis gangguan personaliti secara retrospektif. “Walaupun terdapat maklumat yang menunjukkan gejala kemurungan, saya tidak percaya mangsa menderita penyakit mental teruk yang boleh didiagnosis sebelum insiden berkenaan. “Pertemuan faktor kecenderungan dan pencetus menunjukkan tindakan terakhir itu berkemungkinan besar adalah usaha untuk mengakhiri penderitaan, yang berlaku semasa keadaan tekanan akut yang melampau, pertimbangan yang terjejas dan pengurangan akses kepada mekanisme pelindung normal, bukannya penamatan yang dirancang dengan rapi,” katanya. Dr Chua memberitahu Mahkamah Koroner, salah satu punca utama kematian dalam kalangan remaja yang lebih tua adalah membunuh diri dan hampir tiga daripada lima kes bunuh diri belia tidak mempunyai diagnosis kesihatan mental yang didokumentasikan sebelumnya. Katanya, kajian menunjukkan remaja Malaysia berusia 13 hingga 15 tahun berisiko lebih tinggi untuk melakukan cubaan bunuh diri berbanding kumpulan umur remaja lain, malah pelajar yang ibu bapa tinggal berasingan juga menunjukkan kebarangkalian lebih tinggi untuk melakukan cubaan itu. “Dalam kes mangsa, faktor risiko (faktor kecenderungan) termasuk, tetapi tidak terhad kepada peristiwa hidup yang penuh tekanan, persepsi diri yang negatif, persepsi dibuli, pencapaian akademik tidak memuaskan, sejarah penggunaan bahan, kemarahan atau keagresifan (lisan), kecederaan diri bukan bunuh diri (NSSI), perpisahan ibu bapa, konflik dengan ibu bapa, sensitiviti sosial, gejala kemurungan, isu tingkah laku dan keinginan untuk mati. “Faktor pencetus (faktor langsung) termasuk peristiwa hidup yang memberi tekanan (soal siasat) dan perasaan terasing. Keadaan penyumbang lain termasuk kekurangan tidur kronik dan kekecewaan daripada peringatan ‘BADAR’ (pengawas),” katanya. Dr Chua juga berkata, terdapat beberapa faktor risiko bunuh diri yang wujud sebelum mangsa memasuki SMKA Tun Datu Mustapha. Jabatan Peguam Besar Sabah pada 17 September tahun lalu memohon Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan penilaian psikiatri bagi membantu inkues kematian Zara Qairina. Pasukan tiga ahli terdiri daripada Dr Chua sendiri, pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja, Dr Nurulwafa Hussain dan pakar psikologi klinikal, Norhameza Ahmad Badruddin dilantik oleh Ketua Pengarah KKM pada 19 September 2025 untuk menjalankan penilaian menggunakan pendekatan bedah siasat psikologi. Dr Chua pernah memberi keterangan sebagai saksi pakar untuk kes bunuh orang, pengedaran dadah dan kes kesalahan seksual yang dihantar untuk penilaian di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rendah serta Mahkamah Syariah di seluruh negara. – Info X