April 2, 2026
Info X Reporters
Tunggu pelanggan, rupanya polis yang sampai dulu
PENAMPANG: Seorang lelaki yang dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk urusan jual beli dadah tidak menyangka lokasi ‘deal’ yang disangka selamat rupanya sudah diperhatikan polis. Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam tadi itu, suspek berusia 41 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah di Beverly Hills, di sini selepas gerak-gerinya dikesan mencurigakan. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, serbuan dilakukan hasil risikan selepas pihaknya mengesan aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan. “Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan dua plastik hitam dipegangnya yang mengandungi beberapa paket kecil berisi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi dan ketulan hablur jernih dipercayai ketamin. “Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 108.71 gram ekstasi dan 5.24 gram ketamin dengan nilai sekitar RM2,800 mengikut harga pasaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai sedang menunggu pelanggan sebelum ditahan pihak polis. Katanya, suspek kemudian membawa polis ke sebuah kondominium di Kota Kinabalu, namun pemeriksaan lanjut tidak menemukan sebarang barang salah lain. “Turut dirampas sebuah motosikal jenis Honda dan sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan dalam kegiatan itu. “Siasatan lanjut mendapati suspek memperoleh bekalan dadah melalui kaedah ‘buang dan ambil’ di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang serta mula aktif sejak November tahun lalu,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan. – Info X
April 2, 2026
Info X Reporters
Lori tangki CPO terbabas, dua lelaki cedera
KUNAK: Dua lelaki cedera selepas sebuah lori tangki membawa minyak sawit mentah (CPO) terbabas sendiri dalam kejadian di Bukit Ular, Jalan Lahad Datu – Kunak, di sini, pagi tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.17 pagi menerusi talian MERS 999. “Seramai enam anggota bersama dua jentera dari BBP Kunak digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai. “Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 12.13 tengah hari dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori tangki CPO yang terbabas sendiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Katanya, terdapat dua mangsa lelaki dalam kejadian itu, namun kedua-duanya sudah berjaya dikeluarkan orang awam dan dihantar ke hospital sebelum ketibaan pasukan bomba. Menurutnya, kedua-dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan kejadian itu turut menyebabkan berlaku tumpahan minyak diesel di atas jalan raya. “Pasukan bomba bertindak menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain selain membuat kerja pembersihan tumpahan minyak menggunakan buih (foam). “Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.54 tengah hari selepas keadaan disahkan selamat,” katanya. – Info X
April 2, 2026
Info X Reporters
Remaja perempuan parah dirempuh pacuan empat roda di Kinarut
PAPAR: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun parah selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di Kilometer 19, Jalan Baru Papar – Kota Kinabalu, di sini, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa dilaporkan mengalami patah kaki kiri serta kecederaan di bahagian kepala dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki tempatan berusia 23 tahun itu dalam perjalanan dari Papar menuju ke Kota Kinabalu. “Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa. “Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kenderaan terbabit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati serta mematuhi peraturan lalu lintas, terutama ketika melalui kawasan sekolah. “Pemandu dinasihatkan memperlahankan kenderaan dan lebih berwaspada, manakala pejalan kaki terutama pelajar perlu melintas di tempat selamat serta tidak melintas secara tiba-tiba,” katanya. Terdahulu, tular video kejadian berkenaan di media sosial yang memaparkan detik mangsa dirempuh ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut. – Info X
April 2, 2026
Info X Reporters
Lelaki pecah masuk kedai emas dicekup, gelang RM50,000 dirampas
PENAMPANG: Kegiatan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes curi dalam premis membabitkan beberapa kedai emas di sekitar Penampang dan Putatan akhirnya terbongkar apabila dia diberkas polis, pada Selasa lalu. Suspek tempatan berusia 45 tahun itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang kira-kira jam 1 petang, di sebuah bangunan komersial di Kota Kinabalu. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil siasatan lanjut ke atas suspek membawa kepada rampasan enam utas gelang tangan emas pelbagai saiz. “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM50,000 mengikut harga pasaran. “Turut dirampas sebuah kenderaan, telefon bimbit, pakaian serta dokumen berkaitan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, semakan rekod mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah harta benda serta penyalahgunaan dadah. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan bagi kesalahan berulang boleh dikenakan sebatan. Sementara itu, beliau turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau mencurigakan kepada pihak polis. Katanya, kerjasama itu penting bagi membantu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. – Info X
April 2, 2026
Info X Reporters
PPU Gudon stabilkan bekalan elektrik di kawasan Sepanggar – Sabah Electricity
KOTA KINABALU: Permintaan bekalan elektrik berikutan cuaca panas di Sabah, khususnya di kawasan Sepanggar masih mampu ditampung berikutan agihan tenaga yang lebih stabil melalui infrastruktur baharu Sabah Electricity. Ketua Pegawai Projek Major Sabah Electricity, Abdul Razak Salleh, berkata pengagihan bekalan boleh ditambah jika berlaku peningkatan permintaan. Katanya, Pencawang Pengagihan Utama (PPU) Gudon bernilai RM42 juta yang baru mula beroperasi pada Mac lalu untuk mengagih bekalan elektrik di kawasan utara bandar raya Kota Kinabalu berkeupayaan mengagih hingga 30 megawatt (MW) elektrik. “Terpulang kepada permintaan, tapi PPU ini yang berkapasiti 30 MW, buat masa ini hanya mengagihkan 9 MW, jadi masih boleh menampung bekalan jika ada peningkatan permintaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PPU Gudon di Sepanggar, dekat sini, hari ini. PPU itu dibina menggunakan peruntukan dari Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi meningkatkan daya harap sistem 11 kilovolt (kV) untuk menampung peningkatan permintaan tenaga di kawasan Sepanggar. Pembinaan projek infrastruktur bekalan elektrik itu juga disasar dapat mengurangkan indeks tempoh purata gangguan (SAIDI) Sabah sebanyak 1.47 minit bagi setiap pelanggan. Abdul Razak berkata, PPU baharu itu mampu menstabilkan bekalan, khususnya di sekitar Sepanggar sejajar peningkatan pengguna di kawasan berkenaan yang turut merangkumi kawasan perindustrian. “Tujuan PPU Gudon ini ialah untuk memberi penstabilan elektrik di kawasan Sepanggar di mana buat masa ini sebanyak 9 MW dialihkan daripada PPU lain di kawasan Sepanggar ke PPU Gudon. “Menerusi pengalihan itu, PPU ini juga dapat menstabilkan beban tenaga di kawasan perindustrian di Sepanggar bagi memastikan mengurangkan gangguan apabila berlaku perkara tidak diingini,” katanya. Katanya, PPU itu memberi kelegaan kepada PPU lain yang sudah mencapai tahap maksimun, sekali gus menjamin keselamatan tenaga dan risiko pengurangan kapasiti disebabkan talian penghantaran yang panjang sebelum ini. Langkah itu juga, katanya memastikan kawasan yang terjejas jika berlaku gangguan elektrik dapat dikurangkan, berbanding jumlah yang besar di bawah PPU sebelum ini. PPU Gudon dilengkapi dua transformer, masing-masing berkapasiti sehingga 30 MW yang beroperasi serentak bagi mengagih bekalan yang lebih stabil kepada pengguna. Pelaksanaan projek PPU itu dibuat di bawah Pasukan Petugas Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES). Selain PPU Gudon, beberapa projek infrastruktur bekalan elektrik di Kota Kinabalu, Keningau, Sandakan dan Tawau turut dijangka siap pada tahun ini. – Info X
April 2, 2026
Info X Reporters
Wanita maut, seorang cedera dalam kemalangan di Merotai
TAWAU: Seorang wanita maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Merotai ke Tawau berhampiran Merotai Kecil, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Jumahira Ramlan, 39, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Seorang lagi mangsa, wanita berusia 36 tahun yang memandu Proton Saga mengalami kecederaan dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB II Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan sembilan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 44 kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi pada jam 8.18 pagi, didapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Viva dan Proton Saga dengan pertembungan secara hadapan. “Terdapat dua mangsa terlibat, seorang disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pasukan bomba segera menjalankan operasi mengeluarkan mangsa serta memastikan keadaan selamat dengan mengawal kawasan dan melakukan kerja pembersihan di lokasi kejadian. Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.04 pagi selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal. Kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. – Info X
April 2, 2026
Info X Reporters
ESSCOM banteras perniagaan tidak sah di Semporna, 28 PATI ditahan
SEMPORNA: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berjaya membanteras pelbagai aktiviti perniagaan tidak sah serta pelanggaran undang-undang menerusi Operasi Bersepadu yang dilaksanakan di daerah ini semalam hingga hari ini. Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi berkenaan merekodkan nilai keseluruhan kompaun dan rampasan dianggarkan mencecah RM680,250 melibatkan pelbagai kesalahan yang dikesan. Katanya, sebanyak 165 notis dan kompaun telah dikeluarkan oleh pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasaan yang terlibat sepanjang operasi dijalankan. “Operasi ini dilaksanakan bagi memastikan pematuhan aspek pelesenan premis pelancongan selain membanteras aktiviti tidak sah yang boleh menjejaskan keselamatan serta imej sektor pelancongan di Semporna. “Ia turut memberi tumpuan kepada kesalahan melibatkan imigresen, perniagaan, pekerjaan, kastam serta hidupan liar dilindungi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, operasi bersepadu itu melibatkan 269 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Katanya, sebanyak 40 resort dan premis perniagaan diperiksa termasuk di kawasan bandar, perairan, penempatan setinggan dan kampung sekitar daerah ini. “Dalam pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, seramai 38 individu diperiksa dan 28 daripadanya dikenal pasti sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI). “Kesemua yang ditahan akan diserahkan kepada JIM Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya. Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai kesalahan lain turut dikesan termasuk oleh Jabatan Tenaga Kerja yang mengeluarkan 32 kompaun berkaitan pelanggaran Akta Kerja 1955. Katanya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia pula mengeluarkan sembilan kompaun, manakala Jabatan Perlindungan Data Peribadi mengeluarkan lapan notis dan kompaun. “Majlis Daerah Semporna turut mengeluarkan 33 kompaun melibatkan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen dan pelanggaran syarat premis. “Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pula mengeluarkan 49 notis berkaitan kegagalan menyediakan aspek keselamatan kebakaran,” katanya. Menurutnya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia turut merampas minuman keras tanpa lesen bernilai RM11,642.19 termasuk cukai. Selain itu katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengeluarkan tujuh kompaun, manakala PERKESO mengeluarkan 18 kompaun terhadap majikan yang gagal mendaftar pekerja. “Turut dirampas hasil hidupan liar seperti daging babi, kura-kura dan burung murai dianggarkan bernilai RM1,300 oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah,” katanya. Victor berkata, kejayaan operasi berkenaan membuktikan kerjasama erat antara pelbagai agensi dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang di Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone). “Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan di bawah Operasi SANGGAH bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. “Selaras dengan konsep ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’, ESSCOM akan terus memperhebat tindakan bagi mengekang jenayah rentas sempadan di Sabah Timur. “Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan kepada Pusat Operasi ESSCOM bagi membantu usaha penguatkuasaan,” katanya. – Info X
April 1, 2026
Info X Reporters
Ops Tiris 4.0: Pajero ubah suai seleweng diesel disita
BEAUFORT: Taktik sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero yang dipercayai diubah suai untuk menyeleweng diesel terbongkar selepas diserbu dalam Ops Tiris 4.0 di sebuah stesen minyak, di sini, petang semalam. Serbuan mengejut itu dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Beaufort hasil maklumat serta risikan anggota penguat kuasa yang mengesan aktiviti mencurigakan ketika kenderaan berkenaan sedang mengisi minyak diesel. Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Beaufort, Julie Julhani berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu diubah suai dengan tangki tambahan yang dipercayai mengandungi kira-kira 200 liter diesel. “Susulan itu, pihak kami bertindak menyita kenderaan terbabit bersama minyak diesel serta dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut. “Pemandu kenderaan telah dirakam percakapan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, nozel pam stesen minyak yang terlibat turut diambil tindakan penguatkuasaan, selain dua laporan polis dibuat berhubung kes berkenaan. Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 melibatkan tindakan terhadap pemandu kenderaan serta pihak stesen minyak. “Siasatan lanjut masih dijalankan dan pegawai penyiasat akan dilantik bagi melengkapkan siasatan. “KPDN akan terus komited membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan khususnya melibatkan bahan api bersubsidi,” katanya. Beliau turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan berkenaan. – Info X