February 22, 2026
Info X Reporters
Dua wanita warga asing ditahan kes ugutan jiran
TAWAU: Dua wanita warga asing ditahan polis, hari ini selepas dipercayai mengugut seorang wanita tempatan dalam kejadian di hadapan sebuah kedai di Kampung Kurnia, Batu 4 Jalan Apas, Disember lalu. Kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu dipercayai berpunca daripada perselisihan antara jiran sebelum kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an bertindak mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan terhadap mangsa yang berusia 25 tahun. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Tawau bagi tindakan lanjut. “Bertindak atas laporan dan risikan, sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau berjaya menahan kedua-dua suspek kira-kira jam 1.30 petang di kawasan Bandar Sabindo. “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan polis memandang serius sebarang bentuk ugutan terhadap mana-mana individu,” katanya dalam kenyataan, malam ini. Sementara itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya tindakan segera dapat diambil. – Info X
February 21, 2026
Info X Reporters
Suspek acu garpu, baling kerusi ditahan polis
TAWAU: Tindakan seorang lelaki mengacukan garpu dan membaling kerusi dalam satu pergaduhan di perkarangan Restoran Madeena, Kubota Sentral, awal pagi tadi, membawa padah apabila dia diberkas polis beberapa jam kemudian. Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, suspek lelaki tempatan berusia 33 tahun dipercayai memukul dan menumbuk mangsa berusia 28 tahun sebelum bertindak lebih agresif dengan mengacukan garpu serta mengugut untuk menikamnya. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, dalam insiden sama, suspek turut membaling kerusi ke arah kenderaan mangsa sehingga menyebabkan calar pada bahagian pintu penumpang belakang. “Polis menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan, malam ini. Menurutnya, hasil maklumat dan risikan, sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek kira-kira jam 1 tengah hari di belakang sebuah premis perniagaan di Jalan Sin Onn, di sini. Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan pertikaian, sebaliknya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara. – Info X
February 21, 2026
Info X Reporters
Banjir: Buaya, ular masuk kampung ancam keselamatan penduduk
PITAS: Selain kerugian harta benda, mangsa banjir di daerah ini kini berdepan satu lagi ancaman menakutkan apabila haiwan liar seperti buaya dan ular dilaporkan masuk ke kawasan perumahan susulan limpahan air sungai. Hujan lebat berterusan lebih 24 jam menyebabkan beberapa kampung ditenggelami air, memaksa penduduk menyelamatkan diri dan barangan penting dalam keadaan kelam-kabut. Tinjauan di lokasi terjejas mendapati ramai penduduk bukan saja menanggung kerugian akibat peralatan elektrik rosak dan dihanyutkan arus, malah hidup dalam kebimbangan dengan kehadiran haiwan berbahaya yang dibawa arus banjir. Penduduk, Salma Hasan, 42, berkata air sungai melimpah secara tiba-tiba sehingga mereka tidak sempat mengalihkan harta benda ke tempat lebih tinggi. “Ketika kami sibuk menyelamatkan peti sejuk dan mesin basuh, kami terkejut melihat anak buaya muncul di kawasan rumah, dipercayai dihanyutkan arus. “Lebih mencemaskan apabila ada ahli keluarga terpijak ular di ruang tamu selepas rumah dinaiki air,” katanya. Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan trauma kepada penduduk, malah meningkatkan risiko keselamatan terutama kepada kanak-kanak dan warga emas. Selain ancaman haiwan liar, mangsa turut mengalami kerugian apabila peti sejuk dan mesin basuh dihanyutkan arus deras, manakala televisyen serta peralatan elektrik lain rosak akibat terendam air. “Kami berharap pihak berkuasa dapat membantu mengawal ancaman haiwan liar dan menyalurkan bantuan segera bagi meringankan beban mangsa,” katanya. Penduduk kini berharap keadaan cuaca kembali pulih dan bantuan disalurkan segera bagi membolehkan mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa. – Info X
February 21, 2026
Info X Reporters
Tengah khayal ‘jus’, 9 dicekup dalam serbuan pusat hiburan
KOTA KINABALU: Ketika sebahagian pengunjung sedang leka berhibur dan dipercayai khayal selepas menikmati minuman ‘jus’ disyaki mengandungi dadah, mereka dikejutkan dengan serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, awal pagi tadi. Dalam operasi jam 2.15 pagi itu, pasukan JSJN menyerbu sebuah pusat hiburan di Bandar Indah, Batu 4, Sandakan sebelum menahan sembilan individu termasuk seorang pengurus premis. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis ditahan kerana disyaki beroperasi lebih masa. “Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas pengunjung pula mendapati lapan individu iaitu tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 37 tahun positif dadah. “Antara bahan dikesan termasuk Methamphetamine, Amphetamine, Benzodiazepine dan Ketamin,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, tiga suspek mengaku mengambil minuman ‘jus’ dipercayai mengandungi dadah yang dibeli ketika berhibur di premis berkenaan pada harga RM1,050. “Lima lagi mengaku mendapatkan bekalan Ketamin pada harga RM250 bagi anggaran 2.5 gram untuk kegunaan sendiri,” katanya. Beliau berkata, pengurus premis diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sandakan untuk siasatan mengikut Seksyen 4 Enakmen Hiburan Awam 1958. “Manakala kes membabitkan individu yang positif dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. “Operasi dan pemantauan akan terus dipergiat bagi memastikan pusat hiburan tidak dijadikan lokasi penyalahgunaan dadah,” katanya. – Info X
February 21, 2026
Info X Reporters
14 rumah terbakar di Melangkap Kapa
KOTA BELUD: Sebanyak 14 rumah jenis separuh kekal terbakar dalam kejadian di Kampung Melangkap Kapa, di sini, pagi tadi. Daripada jumlah itu, sepuluh musnah sepenuhnya manakala empat lagi rosak kira-kira 10 peratus namun tiada mangsa dilaporkan terlibat. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.57 pagi. Katanya, tujuh anggota bersama dua anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pangkalan Abai digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 36 kilometer dari balai. “Pasukan tiba pada jam 11.48 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan 14 rumah dengan sepuluh daripadanya terbakar 100 peratus. “Jentera FRT tidak dapat memasuki lokasi kejadian berikutan laluan sempit serta keadaan jambatan yang tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 91 meter dengan dua pancutan serta bantuan pam angkut yang mengambil sumber air terbuka dari sungai berhampiran. “Operasi berjaya dikawal pada jam 12.21 tengah hari dan kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan bagi memastikan tiada sisa bara yang boleh mencetuskan kebakaran semula. “Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. Tambahnya, selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.15 petang. Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kekuatan keseluruhan 10 anggota bomba. – Info X
February 21, 2026
Info X Reporters
Sabah Net diarah pulihkan liputan internet di kampung terjejas banjir
PAITAN: Sabah Net Sdn Bhd (Sabah Net) memasang segera kemudahan internet menggunakan satelit Starlink di kampung yang terputus jaringan komunikasi akibat banjir di daerah ini. Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib, berkata kemudahan itu penting bagi memastikan penduduk dapat berhubung dengan pihak berkuasa serta ahli keluarga, selain mempercepatkan penyelarasan bantuan. “Tindakan segera telah diambil bagi memastikan penduduk di kawasan terjejas banjir di Paitan terus mendapat akses komunikasi dan bantuan yang sewajarnya. “Banjir kali ini antara yang terbesar dalam sejarah kawasan Sugut, melibatkan sebanyak 87 kampung. Setakat ini, sebanyak 22 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan 250 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan jumlah keseluruhan kira-kira 700 mangsa yang terjejas. “Sebahagian besar kampung terputus hubungan sama ada melalui jalan darat mahupun rangkaian komunikasi. Sehubungan itu, saya telah mengarahkan Sabah Net untuk menyelaras dan mempercepatkan pemasangan kemudahan internet satelit Starlink di kampung yang terputus jaringan komunikasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut itu, berkata pada masa yang sama, kerajaan turut membekalkan perahu dan enjin sangkut bagi kegunaan operasi pemindahan mangsa banjir ke PPS serta mempercepatkan usaha menyelamat di kawasan yang dinaiki air. Jelasnya, penyediaan kemudahan komunikasi dan aset logistik itu penting bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin serta operasi bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan tersusun. “Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan semasa dan memastikan semua mangsa yang terjejas menerima bantuan yang sewajarnya sehingga keadaan kembali pulih,” katanya. – Info X
February 21, 2026
Info X Reporters
Bomba selamatkan penduduk terperangkap banjir di Pitas
PITAS: Dua lori 10 tan terpaksa digunakan bagi meredah laluan banjir untuk membawa keluar 67 penduduk Kampung Sibaung, di sini yang terperangkap selepas kediaman mereka dinaiki air, awal pagi tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.16 pagi sebelum lapan anggota bersama dua lori 10 tan digerakkan ke lokasi sejauh lapan kilometer. “Pasukan tiba pada jam 1.25 pagi dan mendapati beberapa rumah terjejas akibat banjir sehingga menyebabkan penduduk tidak dapat keluar sendiri. “Laluan masuk ke kampung tidak dapat dilalui jentera bomba, justeru operasi pemindahan dijalankan menggunakan dua lori 10 tan untuk membawa mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Resthouse,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kesemua 67 mangsa berjaya dipindahkan dengan selamat membabitkan 10 lelaki dewasa, 32 wanita dewasa, 15 kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan. Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.40 pagi selepas keadaan disahkan terkawal dan tiada mangsa lain terjejas. – Info X
February 21, 2026
Info X Reporters
Bantuan mangsa banjir di Paitan disalur segera – James Ratib
KOTA KINABALU: Bantuan segera disalurkan kepada mangsa banjir di Paitan susulan banjir besar yang melanda daerah itu pada Jumaat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib, berkata bantuan makanan disalurkan serta-merta sejak semalam. “Persiapan pemunggahan bantuan makanan untuk mangsa banjir di Paitan telah bermula serta-merta sejurus banjir besar melanda daerah ini hari ini (Jumaat). “Saya telah mengarahkan agar segala bentuk bantuan diselaraskan dengan pantas dan teratur bagi memastikan keperluan asas mangsa terjejas dapat disampaikan tanpa berlengah,” katanya menerusi perkongsian di Facebook beliau. Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi itu, berkata keutamaan ketika ini adalah keselamatan dan kebajikan keluarga yang terkesan akibat banjir. Beliau menaklumkan sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) disediakan di daerah itu bagi membolehkan penduduk yang terjejas berpindah. PPS terbabit ialah di SMK Simpangan, Dewan Binsulung, Masjid Kaindangan, Batangon Darat, Dewan Tangkarason (Kg Baru), SK Lubang Buaya, Gereja Puru Batu, Masjid Simpangan dan Masjid Batangon Laut. “Sehubungan itu, penduduk yang terjejas dinasihatkan untuk berpindah segera ke PPS terdekat dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. “Doakan agar segala urusan dipermudahkan dan mangsa-mangsa banjir di Paitan serta kawasan sekitar termasuk Sugut diberi kekuatan menghadapi ujian ini,” katanya. – Info X