February 9, 2026
Info X Reporters
Pukul lelaki dengan batang besi, tiga sekawan ditahan polis
TAWAU: Tindakan tiga lelaki menyerang seorang individu di sebuah kedai peralatan rumah dan elektrik di Jalan Chong Thien Vun, di sini, semalam membawa padah apabila semua mereka diberkas polis selepas mangsa membuat laporan berhubung kejadian berkenaan. Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa didatangi seorang lelaki yang dikenalinya bersama dua lagi rakan sebelum dipukul secara tiba-tiba menggunakan batang besi hingga menyebabkan kesakitan dan trauma. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan polis yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau berjaya mengesan seorang lelaki tempatan berusia kira-kira 25 tahun. “Suspek terbabit ditahan di kawasan Lorong Perdana Jaya 5 bagi untuk siasatan lanjut. “Dalam tangkapan itu, polis turut merampas batang besi dan sebilah pisau pemotong yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lagi suspek lelaki berusia antara 34 hingga 36 tahun bagi membantu siasatan. “Semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X
February 8, 2026
Info X Reporters
Mendiang Simon penjawat awam berwibawa, tokoh dihormati – Hajiji
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Simon Sipaun yang dilaporkan meninggal dunia pada Ahad sebagai seorang penjawat awam yang berwibawa. Beliau berkata, mendiang berkhidmat sebagai sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dari 1988 hingga 1993 sebelum terus menyumbang kepada negara sebagai Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dari tahun 2003 hingga 2010. Sambil merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita atas pemergian mendiang, Hajiji berkata keberanian Simon dalam isu demokrasi, tadbir urus dan kebebasan sivil serta komitmen berterusan memperjuangkan hak-hak Sabah termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 menjadikan beliau tokoh yang dihormati bukan saja di Sabah malah di seluruh negara. “Sebagai antara anak Sabah terawal yang menerima biasiswa Colombo Plan dan alumni Victoria University of Wellington, sumbangan serta kepimpinan beliau telah meninggalkan legasi yang besar dalam perkhidmatan awam dan pembangunan negeri Sabah. “Seluruh Kerajaan Negeri Sabah turut bersimpati atas pemergian mendiang dan merakamkan penghargaan atas segala jasa, bakti dan sumbangan beliau kepada negeri Sabah. “Takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang sukar ini,” katanya dalam perkongsian di Facebook beliau. Terdahulu, mendiang dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan di sebuah hospital swasta, di sini, pada pagi Ahad. – Info X
February 8, 2026
Info X Reporters
Piala Cabaran: Polis tunduk 2-0 kepada Sabah
KOTA KINABALU: Sabah FC membawa bekalan agak selesa untuk ke aksi kedua Piala Cabaran selepas menundukkan PDRM FC 2-0 pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Likas, malam ini. Jaringan pembukaan tuan rumah terhasil pada minit ke-53 hasil sepakan bola tinggi oleh pemain pertahanan Sabah, Dane James Ingham yang tanpa diduga jatuh ke dalam gawang pasukan lawan. Ia kemudian disusuli gol kedua oleh Fergus Tierney setelah bola terlepas dari tangan penjaga gol PDRM, Nor Hakeem Hamidun ketika berlaku kekecohan di depan gawang pada minit ke-57. Gol Tierney itu terhasil setelah empat atau lima cubaan hampir menjaringkan gol dilakukannya sepanjang babak pertama perlawanan dan awal separuh masa kedua. Skuad Sang Badak sebelum itu berusaha mendapatkan gol pembukaan bermula pada pertengahan minit babak pertama selepas mendapat rentak yang baik menentang pasukan lawan. PDRM pada awalnya kelihatan berbahaya buat Sabah apabila tampil dengan serangan berbahaya sejak minit pertama sebelum tuan rumah dapat membaca gerakan dan mula mengatur serangan balas. Tuan rumah juga hampir menambah jaringan ketiga setelah diberi sepakan penalti pada minit ke-73 apabila penyerangnya, Darren Lok dijatuhkan pemain tengah PDRM, Muhammad Fakhrul Azim di kawasan kotak penalti. Bagaimanapun, sepakan penalti yang dilakukan Darren sendiri itu dapat ditampan penjaga gol PDRM menyebabkan skuad Sang Badak gagal untuk menambah satu lagi jaringan. Cubaan kedua-dua pasukan untuk menghasilkan gol selepas itu buntu, sekali gus membolehkan Sabah membawa bekalan agak selesa ke perlawanan suku akhir kedua nanti di Stadium Selayang, Selangor pada 15 Februari ini. – Info X
February 8, 2026
Info X Reporters
Durian merah berpotensi sebagai produk makanan baharu – Masiung
TONGOD: Durian merah, buah eksotik tropika yang popular di daerah ini berpotensi diketengahkan sebagai produk baharu makanan di negara ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, sehubungan itu mencadangkan agar kajian dibuat bagi menghasilkan varieti yang berkualiti dan pokok lebih rendah. Beliau mencadangkan perkara itu kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri (MAFFI) sebagai satu inisiatif bagi mengembangkan penanaman durian berkenaan. “Saya optimis teknologi agronomi moden mampu menghasilkan bibit durian merah yang bermutu tinggi dengan saiz pokok lebah rendang dan rendah berbanding tanaman tradisional sekarang,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata, kelazatan isi durian merah bukan saja menjadi makanan tradisi masyarakat orang Sungai di Tongod, Kinabatangan, Telupid dan Beluran tetapi juga menjadi buruan pencinta rasa di Sabah dan Sarawak. Katanya, isi durian merah kebiasannya ditumis sambil ditambah sedikit perisa untuk dijadikan ‘sambal’ dan ia adalah menu paling popular di daerah ini selain berpotensi menembusi pasaran makanan di rantau Asia. Pengerusi Kumpulan SEDCO itu mengesa MAFFI menjalankan kajian varieti cantuman agronomi baharu bagi menghasilkan bibit yang rendang sekali gus dipromosikan sebagai tanaman domestik dalam industri pertanian di Sabah. Masiung yakin menteri MAFFI, Datuk Jamawi Jaafar, yang berpengalaman luas dalam industri pertanian berasaskan durian mampu mengetengahkan varieti durian merah sebagai tanaman moden. “Apabila durian merah menjadi tanaman utama di negeri ini, pengeluaran buah eksotik itu akan bertambah sekali gus pasarannya semakin meluas,” katanya. Jelasnya, tanaman warisan yang menjadi makanan kegemaran tradisi masyarakat Sungai itu adalah tanaman bermusim. “Uniknya buah durian merah tidak akan luruh walaupun buahnya sudah matang. “Pokoknya yang bersaiz besar dan tinggi terpaksa menggunakan khidmat penduduk yang mahir memanjat untuk memetik buahnya,” katanya. Masiung berkata, keenakan durian merah rasa lemak manis, kandungan gula rendah dengan hasil tinggi sehingga 200 biji sepokok, berpotensi besar sebagai produk agro pelancongan baharu yang unik. – Info X
February 8, 2026
Info X Reporters
Bas persiaran terbabas di Tamparuli, 10 termasuk pelancong China cedera ringan
TAMPARULI: Seramai 10 individu termasuk sembilan pelancong warga China cedera ringan selepas sebuah bas persiaran terbabas dan terjatuh ke dalam longkang di Jalan Minangkob, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian itu, bas persiaran yang membawa 10 orang termasuk pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas. Semua mangsa bagaimanapun berjaya keluar sendiri dari kenderaan dengan bantuan orang awam. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba, Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 8.36 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian. “Setibanya pasukan bomba di lokasi, sebuah bas persiaran didapati berada di dalam longkang selepas terbabas. “Semua mangsa dilaporkan cedera ringan dan dihantar ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan seorang pemandu lelaki berusia 24 tahun, warga tempatan serta sembilan penumpang warga China terdiri daripada lima lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki. “Kes berkenaan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. “Operasi pemantauan dan pemeriksaan keselamatan ditamatkan pada jam 9.20 pagi selepas lokasi disahkan selamat,” katanya. – Info X
February 8, 2026
Info X Reporters
Lima lelaki diberkas, barang curi RM10,000 dirampas di Penampang
PENAMPANG: Lima lelaki diberkas dan pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah dirampas dalam satu serbuan polis di Putatan, semalam. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, tangkapan dibuat hasil siasatan kes pecah rumah di sebuah rumah tidak berpenghuni yang sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian. Menurutnya, nilai kerugian akibat kejadian itu dianggarkan kira-kira RM10,000. “Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menjalankan serbuan ke atas sebuah rumah di Putatan sebelum berjaya menahan lima lelaki berusia antara 26 hingga 31 tahun. “Polis turut merampas pelbagai barangan yang disyaki berkaitan dengan kes pecah rumah berkenaan serta dipercayai hasil kegiatan curi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan pecah rumah dan dadah. “Saringan awal air kencing turut mendapati dua daripada suspek positif dadah. “Semua suspek kini ditahan di lokap IPD Penampang dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya. Dalam pada itu, beliau berkata polis komited meneruskan usaha membanteras jenayah harta benda dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan keselamatan premis serta harta benda, khususnya rumah yang tidak berpenghuni. “Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X
February 8, 2026
Info X Reporters
Ruslan Muharam Janang Gayuh baharu masyarakat Bisaya
BEAUFORT: Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), Datuk Ruslan Muharam menyambung gelaran Janang Gayuh atau pemimpin besar masyarakat Bisaya yang sebelum ini dipegang Allahyarham Datuk Lajim Ukin. Penganugerahan gelaran tertinggi bagi masyarakat Bisaya itu disampaikan kepada Ruslan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada satu majlis anjuran PBBS, di sini, malam Sabtu. Majlis itu turut disaksikan Huguon Siou atau pemimpin agung masyarakat Kadazandusun, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Isnin Aliasnih dan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching. Mengulas penganugerahan itu, Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri menyifatkannya sebagai pengiktirafan besar terhadap sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada masyarakat Bisaya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan menyatakan rasa gembira dan bersyukur atas kepercayaan yang diberikan untuk memegang gelaran berkenaan. Tegasnya, penganugerahan gelaran itu bukan dibuat secara automatik walaupun beliau memegang jawatan Presiden PBBS selama empat tahun sebelum ini. “Seseorang tidak boleh terus dilantik sebagai Janang Gayuh tanpa melalui proses penilaian yang ditetapkan, iaitu berkhidmat sekurang-kurangnya satu penggal selama tiga tahun untuk dinilai oleh kepimpinan dan masyarakat Bisaya sendiri. “Tempoh tiga tahun satu penggal itu menjadi asas penilaian terhadap khidmat, kepimpinan dan sumbangan kepada masyarakat. Penilaian itu dibuat oleh pemimpin Bisaya serta masyarakat secara keseluruhan,” katanya. Katanya, selepas tempoh penilaian itu, perkara berkenaan dibawa untuk diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AMT) PBBS sebelum diperhalusi di peringkat Majlis Tertinggi (MT) persatuan berkenaan. MT PBBS, katanya kemudian melantik sebuah panel khas bagi menilai secara terperinci pencalonan Janang Gayuh, termasuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan. “Hanya selepas panel berpuas hati dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak, barulah pelantikan Janang Gayuh ini direalisasikan, seperti yang kita saksikan hari ini,” katanya. Gelaran Janang Gayuh sebelum ini disandang bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah dan bekas Presiden PBBS, Allahyarham Datuk Lajim Ukin yang meninggal dunia pada 29 Ogos 2021. – Info X
February 8, 2026
Info X Reporters
Dua melecur dalam kebakaran tiga rumah di Tebobon
KOTA KINABALU: Dua individu termasuk seorang warga emas cedera akibat melecur selepas tiga buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Tebobon, Menggatal, di sini, awal pagi tadi. Mangsa lelaki berusia 60 tahun melecur pada bahagian tangan, kaki dan belakang badan, manakala seorang lagi mangsa wanita berusia 48 tahun dilaporkan cedera ringan selepas melecur pada tangan kanan dan kaki kiri. Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuaran untuk mendapatkan rawatan lanjut. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.43 pagi sebelum anggota dan jentera digerakkan ke lokasi kejadian. “Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah sebelum operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan empat pancutan air daripada jentera dan pili bomba berhampiran. “Ketiga-tiga rumah terbabit terbakar hampir 95 peratus. Dua mangsa dilaporkan cedera melecur dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.41 pagi, selain dua rumah berhampiran turut diselamatkan daripada terbakar. “Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. “Operasi pemadaman dan pemeriksaan keselamatan ditamatkan pada jam 8.30 pagi selepas lokasi disahkan selamat,” katanya. – Info X