Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 30, 2026

BERNAMA

Tiga rakyat Malaysia antara 261 warga asing belum dapat dikesan susulan tanah runtuh di Xizang

GYIRONG, Xizang (China): Tiga rakyat Malaysia antara 261 warga asing dari 23 negara yang dikenal pasti masih belum dapat dikesan susulan kejadian tanah runtuh melanda Pelabuhan Gyirong di sempadan China-Nepal, Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China pada 26 Ogos, menurut pihak berkuasa tempatan pada Ahad. Angka terbaharu itu diumumkan pada sidang media anjuran pejabat penerangan kerajaan wilayah berkenaan selepas operasi pencarian bersama serta semakan maklumat oleh pihak berkuasa hal ehwal luar, keselamatan awam, kebudayaan dan pelancongan serta pengurusan kecemasan, lapor Xinhua. Daripada 261 warga asing berkenaan, 104 berasal dari Nepal, 49 dari India, 33 dari Latvia, 18 dari Amerika Syarikat, 15 dari Britain, masing-masing enam dari Kanada dan Australia, empat dari Afrika Selatan serta masing-masing tiga dari Malaysia, Jerman dan Rusia. Turut belum dapat dikesan ialah masing-masing dua warga Ireland, Estonia, Perancis, Belanda dan New Zealand, serta masing-masing seorang dari Kazakhstan, Finland, Lithuania, Portugal, Ukraine, Sepanyol dan Hungary. Pihak berkuasa China telah memaklumkan perkara itu kepada kedutaan dan konsulat negara terbabit di China, menurut sidang media berkenaan. Selepas beberapa pusingan operasi pencarian, pemeriksaan di lokasi serta semakan terhadap individu di pintu sempadan itu, tiada pelancong asing dilaporkan masih terkandas di daerah Gyirong setakat ini, menurut pihak berkuasa. China turut membuka dua talian hotline berbahasa Inggeris yang beroperasi 24 jam untuk keluarga warga asing yang masih belum dapat dikesan, iaitu 0086-891-6817165 dan 0086-18308026705.– BERNAMA-XINHUA

August 30, 2026

BERNAMA

Lagu patriotik, satu melodi seribu jiwa

Oleh Sakini Mohd Said Melodi mungkin berubah mengikut zaman, namun kuasa sesebuah lagu patriotik melangkaui sekadar bait dan irama dalam menyemarakkan kecintaan kepada negara serta rasa kebersamaan. Biarpun begitu, dengan evolusi landskap muzik dan gaya hidup, mampukah lagu patriotik kekal relevan sekali gus menyentuh jiwa generasi hari ini, itu dikupas dalam laporan akhir dua siri. KUALA LUMPUR: “Tiga mahupun empat minit” mungkin sekadar durasi sesebuah lagu, namun karya patriotik dengan paduan melodi dan lirik yang tepat, hakikatnya mampu “menjentik” emosi serta menyatukan ribuan rakyat berbilang bangsa dalam satu suara sebagai anak Malaysia. Tidak sekadar sebagai penyeri sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM), lagu patriotik mempunyai kekuatan tersendiri sebagai medium yang mampu menyemarakkan semangat kebersamaan, selain turut menjadi “penawar” kepada perbalahan mahupun sentimen perkauman dalam masyarakat. Keupayaan itu bukan sahaja terserlah menerusi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan, akan tetapi turut dipacu kekuatan lirik yang membawa mesej mudah difahami mahupun dihayati, sekali gus mengusik emosi dan membangkitkan rasa cinta serta bangga terhadap negara. “Di situlah terletaknya keistimewaan sesebuah lagu patriotik, yang turut menjadi wahana penting mengimbau kembali sejarah perjuangan dan pengorbanan terdahulu, seraya mengingatkan generasi hari ini akan nilai sebuah kemerdekaan,” kata penyanyi legenda Datuk Wan Aishah Wan Ariffin. “Bagi saya, lagu patriotik mungkin boleh menjadi penawar atau antidote kepada racun-racun perbalahan, perpecahan dan rasisme. Kita tumpukan kepada apa persamaan kita, iaitu kita anak Malaysia. “Walaupun kita orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan lain-lain, fakta utama ialah kita orang Malaysia. Apabila ribuan rakyat berada di stadium atau dataran dan menyanyikan lagu yang sama tentang negara, tentang kasih kita sesama rakyat, di situlah wujudnya kebersamaan,” katanya kepada Bernama. Namun untuk mewujudkan rasa kebersamaan sedemikian, Wan Aishah yang lebih dikenali sebagai Aishah berkata mesej sesebuah lagu itu, perlu terlebih dahulu sampai dan menyentuh hati pendengar dengan lirik memainkan peranan penting dalam memberi makna, membentuk jalan cerita serta menentukan hala tuju sesebuah karya. Beliau berkata tanpa lirik yang mampu menjentik emosi dan dekat dengan pengalaman pendengar, sesebuah lagu itu mungkin sekadar memiliki melodi yang menarik, akan tetapi belum tentu dapat meninggalkan kesan mahupun membawa mesej yang ingin diketengahkan. “Lirik itu bagi saya is almost everything to a song. Lagu kalau kita pilih lagu tanpa lirik, ia takkan ada makna, tidak ada jalan cerita dan tak ada hala tuju. Kita akan dengar muzik, tetapi mungkin sekadar muzik yang sedap didengar,” katanya. Aishah yang pernah mendendangkan semula Bahtera Merdeka, nyanyian asal Allahyarham Datuk Ahmad Jais bagaimanapun berkata menjadi satu cabaran untuk memastikan lagu patriotik terus mampu menambat perhatian, khususnya generasi muda yang membesar dengan cita rasa muzik yang sentiasa berubah. Oleh sebab itu Aishah berpandangan, lagu patriotik tidak semestinya tampil dalam bentuk terlalu serius, sebaliknya boleh digarap dengan pendekatan lebih segar dan moden, misalnya genre cinta dengan susunan muzik yang selari trend semasa. “Sekarang dah banyak lagu baharu yang lebih mesra kepada Gen Z (Generasi Z), anak-anak muda dan ditulis oleh anak muda juga. Jadi mereka yang tulis dan mereka juga yang nyanyi kepada rakan-rakan di luar sana dan kebanyakannya dapat menerima (perubahan tersebut). “Lagu patriotik bagi saya kalau ditulis dalam bentuk love song, moden dengan susunan yang selari dengan senario muzik sekarang, sebenarnya lebih senang untuk diterima generasi baharu,” katanya. Jika Aishah melihat kekuatan sesebuah lagu daripada gabungan lirik, melodi dan kemampuannya untuk menghubungkan pendengar, penyanyi veteran yang terkenal dengan lagu patriotik, Roy pula menitikberatkan elemen “penjiwaan” dalam menyuntik roh pada sesebuah karya itu. Roy atau nama sebenarnya Mohammed Rauzan Alwi berkata lagu patriotik, memerlukan interpretasi yang sesuai kerana melodi, lirik, muzik mahupun cara nyanyian perlu bergerak seiring dalam membangkitkan emosi serta semangat penyatuan yang ingin diterjemahkan kepada masyarakat. Pelantun yang terkenal dengan naskhah Sejahtera Malaysia itu berkata aspek berkenaan penting, kerana penyampaian secara sambil lewa boleh menyebabkan sesebuah lagu patriotik gagal meninggalkan kesan mendalam kepada pendengar. “Lirik dengan melodi, mesti seiring…bila mood itu kena dengan lirik dan muzik yang diiringkan, benda itu mendatangkan semangat,” katanya sambil menambah kemahiran asas nyanyian seperti penguasaan notasi dan teknik pernafasan yang betul, turut memainkan peranan memastikan sesebuah lagu dapat disampaikan dengan baik. Biarpun begitu, beliau melihat cabaran menyemarakkan semangat patriotisme menerusi lagu turut berubah, seiring perkembangan teknologi apabila masyarakat hari ini tidak lagi bergantung kepada radio dan televisyen (TV) semata-mata, sebaliknya mempunyai pelbagai pilihan menerusi platform digital. “Dulu orang dengar radio, tengok TV. Jadi (matlamat lagu patriotik) itu sampai kepada kita. Sekarang semua boleh pilih…nak tengok YouTube, nak tengok TikTok. Bagaimana hendak pastikan ia sampai kepada kamu? Gaya hidup dah berubah,” katanya. Hakikatnya, perubahan landskap itu sekali gus menunjukkan bahawa kekuatan lagu patriotik tidak boleh diukur sekadar sejauh mana ia dimainkan atau menjadi popular, akan tetapi pada kemampuannya untuk meninggalkan rasa dan makna yang mendalam kepada pendengarnya. Kerana akhirnya di sebalik perbezaan zaman, genre mahupun cita rasa, lagu patriotik hakikatnya membawa satu tujuan yang tidak akan sesekali pun berubah, yakni mengingatkan rakyat di bawah payung Malaysia kita mungkin berbeza, akan tetapi tanah air yang dicintai tetap sama.– BERNAMA

August 30, 2026

Info X Reporters

Mangsa ketiga ditemukan tidak jauh dari dua mangsa terdahulu

KOTA KINABALU: Mangsa ketiga yang hilang dalam kebakaran kira-kira 200 rumah atas air di Numbak, di sini, ditemukan pasukan bomba, hari ini. Mangsa ditemukan pada 7.46 pagi, tidak jauh dari lokasi dua mangsa pertama yang masing-masing ditemukan rentung pada 6.40 dan 7.20 pagi ketika operasi pemadaman dijalankan. Ketiga-tiga mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Hasrul Abd, 4; Ana Abd, 6; dan Norfadilah Mohd Thajia, 8. Mereka terdiri daripada dua beradik dan seorang sepupu yang dilaporkan hilang dalam kebakaran membabitkan Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama. Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hannis Moktar ketika dihubungi mengesahkan penemuan mangsa ketiga itu. Katanya, pasukan bomba menemukan mangsa ketika meneruskan operasi pencarian dan kerja-kerja ‘overhaul’ di kawasan kebakaran. “Mangsa ketiga ditemukan tidak jauh dari lokasi dua mangsa terdahulu,” katanya. Terdahulu, kebakaran yang berlaku awal pagi itu memusnahkan kira-kira 200 rumah atas air dalam kawasan seluas kira-kira 79 meter kali 116 meter. Kebakaran berjaya dikawal pada 6.26 pagi, manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X

August 30, 2026

Info X Reporters

Dua rentung, seorang lagi masih hilang dalam kebakaran 200 rumah

KOTA KINABALU: Dua mangsa ditemukan rentung, manakala seorang lagi masih hilang selepas kebakaran memusnahkan kira-kira 200 rumah atas air di Numbak, di sini, awal pagi hari ini. Ketiga-tiga mangsa yang dikhuatiri hilang itu terdiri daripada dua beradik dan seorang sepupu. Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hannis Moktar berkata, dua mangsa ditemukan pasukan bomba ketika operasi pemadaman dijalankan. Katanya, operasi mencari seorang lagi mangsa masih diteruskan, manakala identiti serta status ketiga-tiga mangsa dalam proses pengesahan. “Kebakaran membabitkan rumah atas air jenis tidak kekal merangkumi tiga kampung iaitu Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama. “Anggaran awal mendapati kira-kira 200 rumah terjejas dalam kawasan seluas kira-kira 79 meter kali 116 meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 1.40 pagi sebelum jentera tiba di lokasi pada 1.54 pagi. Katanya, pasukan menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 305 meter dengan empat pancutan. “Sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan sumber air terbuka, iaitu laut. “Kebakaran berjaya dikawal pada 6.26 pagi daripada terus merebak ke kawasan berhampiran. “Operasi pemadaman, pencarian mangsa dan kerja-kerja ‘overhaul’ masih diteruskan,” katanya. Operasi membabitkan 44 anggota dari BBP Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Tuaran dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Sabah Electricity. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz turut berada di lokasi bersama Penolong Pengarah Operasi Negeri, Penguasa Kanan Bomba I Muhammad Taqiuddin Victor Doon serta pegawai kanan jabatan. Jumlah sebenar rumah yang musnah masih dalam proses pengesahan, manakala punca kebakaran dan nilai kerugian belum dapat dipastikan. – Info X

August 30, 2026

Info X Reporters

Ratusan rumah atas air musnah terbakar di Kampung Numbak

KOTA KINABALU: Ratusan rumah atas air musnah dalam kebakaran besar di Kampung Numbak, di sini, awal pagi hari ini. Kebakaran yang berlaku kira-kira 1.30 pagi itu menyebabkan api merebak pantas dari sebuah rumah ke rumah lain berikutan kedudukan struktur yang rapat. Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hannis Moktar ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.40 pagi sebelum pasukan pertama tiba di lokasi 18 minit kemudian. “Operasi membabitkan 39 anggota dari BBP Kota Kinabalu, BBP Lintas dan BBP Penampang. “Pasukan menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 305 meter dengan empat pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada jentera,” katanya ketika ditemui. Menurutnya, operasi pemadaman masih giat dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak ke rumah berhampiran. Operasi turut membabitkan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua lori tangki air, dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta beberapa kenderaan sokongan. Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Idy Nirwan Illyas mengetuai operasi berkenaan dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz turut berada di lokasi bersama Penolong Pengarah Operasi Negeri, Penguasa Kanan Bomba I Muhammad Taqiuddin Victor Doon. Katanya, setakat ini jumlah sebenar rumah yang musnah masih dalam proses dikenal pasti. “Nilai kerugian juga belum dapat dipastikan, dan punca kebakaran akan disiasat sebaik operasi selesai,” katanya.

August 29, 2026

Info X Reporters

Gagasan Rakyat umum senarai gabungan muka lama, baharu Ketua Bahagian

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) hari ini mengumumkan pelantikan 25 Ketua Bahagian (Penaja) yang baharu melalui penstrukturan semula bahagian mengikut kawasan Parlimen. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden PGRS, berkata penstrukturan dan pelantikan itu sebagai satu langkah penting memperkukuh struktur organisasi serta memperkasa kepimpinan parti di peringkat bahagian. Katanya, pelantikan itu menampilkan satu barisan kepimpinan yang menggabungkan pemimpin senior yang berpengalaman, tokoh muda yang bertenaga serta beberapa muka baharu yang mempunyai latar belakang, kepakaran dan pengalaman dalam pelbagai bidang. “Gabungan ini mencerminkan kesungguhan PGRS untuk membina barisan kepimpinan yang lebih dinamik, inklusif dan dekat dengan rakyat. “Pemilihan 25 Ketua Bahagian (Penaja) ini dibuat setelah mengambil kira faktor pengalaman, kemampuan memimpin, rekod khidmat kepada masyarakat, penerimaan di peringkat akar umbi serta keupayaan untuk menggerakkan organisasi secara berkesan dan efektif,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PGRS, di sini, pada Sabtu. Hajiji yang juga Presiden PGRS dan Ketua Bahagian Tuaran, berkata kehadiran pemimpin senior akan terus menjadi sumber pengalaman dan panduan strategik kepada parti, manakala penglibatan pemimpin muda serta muka baharu akan membawa idea, pendekatan dan tenaga baharu dalam memperkukuh gerak kerja organisasi. Jelasnya, pelantikan itu bukan sekadar pengisian jawatan, sebaliknya sebahagian daripada usaha membina kepimpinan merentas generasi yang mampu bergerak seiring dalam menghadapi cabaran politik dan tuntutan masyarakat semasa. “Kita mahu membina satu pasukan yang menggabungkan pengalaman dengan tenaga baharu. Pemimpin senior mempunyai pengalaman dan kebijaksanaan yang sangat bernilai, manakala pemimpin muda dan muka baharu membawa perspektif serta idea yang segar. “Gabungan ini penting supaya organisasi kita tidak hanya kukuh dari segi pengalaman, tetapi juga sentiasa bersedia melakukan pembaharuan dan bergerak mengikut perkembangan semasa. “Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik mempunyai tanggungjawab besar untuk memperkemas organisasi, memperkukuh jaringan akar umbi dan memastikan parti sentiasa membawa aspirasi dan dekat dengan rakyat,” katanya. Beliau berkata, pelantikan 25 Ketua Bahagian (Penaja) itu juga akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh struktur bahagian, memperluaskan keahlian, menggerakkan aktiviti di peringkat akar umbi serta membentuk pasukan kepimpinan yang berkesan di setiap kawasan. Hajiji turut menegaskan bahawa kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada individu yang memimpin, tetapi kepada kerjasama seluruh pasukan serta keupayaan kepimpinan bahagian menterjemahkan agenda parti dalam bentuk khidmat yang dirasai masyarakat. “Kita mahu setiap bahagian menjadi organisasi yang hidup, aktif dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat. Ketua Bahagian bukan sekadar memegang jawatan, tetapi memikul amanah untuk membina organisasi, menyatukan ahli dan membawa suara masyarakat ke peringkat yang lebih tinggi. “Pelantikan ini diharapkan menjadi titik tolak kepada pembentukan satu saf kepimpinan baharu yang lebih kukuh, tersusun dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. “Dengan menggabungkan pengalaman pemimpin senior, semangat anak muda dan penyertaan muka-muka baharu, kepimpinan PGRS yakin barisan 25 Ketua Bahagian (Penaja) ini mampu memberikan nafas baharu kepada organisasi serta memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap perjuangan parti,” katanya. Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada kesemua 25 Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik dan berharap mereka dapat melaksanakan amanah dengan penuh integriti, komitmen serta semangat berpasukan demi kepentingan parti dan rakyat. Senarai Ketua Bahagian PGRS ialah Datuk Seri Ruddy Awah (Kudat), Sarapin Magana (Kota Marudu), Datuk Mohd Arsad Bistari (Kota Belud), Datuk Seri Hajiji Noor (Tuaran), Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi (Sepanggar), Datuk Faisyal Diego (Kota Kinabalu), Shah Alfie Yahya (Putatan), Datuk Ceasar Mandela Malakun (Penampang), Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar (Papar), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Kimanis) dan Datuk Isnin Aliasnih (Beaufort). Selebihnya ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sipitang), Datuk Seri Masidi Manjun (Ranau), Datuk Azman Ruslan (Keningau), Datuk Rubin Balang (Tenom), Datuk Abdul Ghani Yassin (Pensiangan), Datuk James Ratib (Beluran), Datuk Hazem Mubarak Musa (Libaran), Datuk George Hiew Vun Zin (Batu Sapi), Datuk Awang Kadin Tang (Sandakan), Datuk Maiung Banah (Kinabatangan), Ir Rajesh Yusof (Lahad Datu), Datuk Dr Mohd Jasmin Julpin (Semporna), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Tawau) dan Dr Andi Shamsureezal Mohd Sainal. – Info X

August 29, 2026

BERNAMA

Aaron-Wooi Yik digandingkan semula selepas Sukan Asia 2026 – Chong Wei

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Lee Chong Wei mengesahkan beregu utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akan digandingkan semula selepas tamat Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt. Chong Wei berkata keputusan itu dicapai hasil perbincangan “hati ke hati” antara beliau, barisan kejurulatihan dan pemain berkenaan semalam yang menyaksikan pasangan itu komited untuk meneruskan perjuangan bersama bagi menghadapi kejohanan akan datang, termasuk sasaran ke Sukan Olimpik 2028. Bagaimanapun, bagi Sukan Asia 2026, Aaron Chia akan menggalas cabaran bersama Tee Kai Wun manakala Wooi Yik tidak berada dalam senarai pemain ke Aichi-Nagoya selepas barisan kejurulatihan memutuskan untuk mencuba strategi scratch pair. Chong Wei berkata keputusan pemilihan pemain ke Sukan Asia 2026 itu dibuat berdasarkan cadangan jurulatih yang mahukan kondisi dan prestasi terbaik bagi memburu pingat pada temasya empat tahun sekali berkenaan. “Masa itu jurulatih cakap mahu buat scratch pair kan? Mahu cuba tengok apa gandingan terbaik. Itu nama yang diberikan kepada saya, okey kami hantar sahaja. Kami kena pilih kondisi terbaik, pemain yang terbaik untuk pergi ke Sukan Asia kerana saya sudah cakap temasya ini empat tahun sekali. “Saya cakap dengan Rexy Mainaky selepas Sukan Asia, mereka (Aaron-Wooi Yik) akan bergandingan semula sehingga 2028. Tapi kamu jangan separuh jalan sahaja, jika ada masalah kita tidak boleh tukar-tukar,” katanya selepas Kejohanan Badminton Piala Lee Chong Wei di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini hari ini. Chong Wei ketika mengulas mengenai rasa terkilan pemain yang mendakwa tidak dibawa berbincang mengenai perpecahan sementara itu berkata beliau telah menyelesaikan salah faham berkenaan dalam perjumpaan yang sama. “Saya beritahu Wooi Yik dan Aaron, baiklah. Kini, kita selesaikan perkara ini. Apa yang kamu mahu sekarang? Apa yang kamu perlukan? Apa yang saya boleh bantu? Sekarang mereka rasa, pada kejohanan dunia mereka akan bergandingan semula. Mungkin mereka cakap okey, kami berdua mahu ke Sukan Olimpik 2028. Okey, kamu mahu orang yang sama untuk pergi, okey,” katanya. Dalam pada itu, legenda badminton negara itu turut meluahkan isi hatinya mengenai cabaran menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi yang sering berdepan dengan pelbagai kontroversi dan kritikan pedas di media sosial. Chong Wei mengakui jawatan yang dipikulnya ketika ini bukanlah satu tugas yang mudah, terutama apabila ada pihak yang membandingkan pencapaian peribadinya dengan status pemain-pemain di bawah seliaannya sekarang. “Ada orang banyak komen, ada marah sama saya, saya boleh terima kerana jika kamu buat apa-apa keputusan pun bukan senang tapi saya terima orang marah saya kerana ada orang cakap juga ‘kamu bukan juara dunia tapi kamu jaga juara dunia’. Ya, bukan senang mahu duduk di tempat ini,” katanya. Chong Wei berkata segala keputusan yang dibuat adalah demi kepentingan negara dan BAM, bukannya atas dasar kepentingan peribadi atau rasa tidak suka terhadap mana-mana pemain tertentu. Beliau turut menitipkan pesanan mendalam kepada para pemain supaya sentiasa mengenang jasa pihak yang telah membantu mereka daripada peringkat awal sehingga berjaya ke tahap sekarang. “Dulu kamu bukan siapa-siapa, sekarang kamu memiliki sesuatu, siapa bawa kamu? Kamu jangan lupakan siapa bantu kamu. Ini ialah prinsip saya. Saya tahu dulu saya kosong sehingga saya dapat ranking pemain nombor satu dunia dan sehingga saya memperoleh banyak kejuaraan kan? Saya tidak akan lupa siapa yang jaga saya,” katanya. Chong Wei berkata beliau tidak pernah terfikir untuk meninggalkan BAM sepanjang kariernya sebagai seorang atlet kerana prinsip kesetiaan kepada negara melebihi segala konflik dalaman yang pernah dihadapinya.– BERNAMA

August 29, 2026

BERNAMA

Ibu bapa perlu beri kesedaran, peringatan elak anak terjebak “akaun keldai” – Ewon

PENAMPANG: Ibu bapa perlu memberi kesedaran dan mengingatkan anak-anak, khususnya golongan remaja supaya tidak terjebak dengan sindiket “akaun keldai” yang boleh menyebabkan mereka berdepan tindakan undang-undang. Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick berkata tindakan membenarkan pihak lain menggunakan akaun boleh menyebabkan pemilik akaun berdepan tindakan undang-undang sekiranya didapati terlibat dalam kegiatan penipuan atau transaksi yang menyalahi undang-undang. “Ini antara perkara yang perlu kita beri perhatian. Kita perlu mengingatkan diri sendiri, ibu bapa dan anak-anak, khususnya remaja supaya tidak mudah terperdaya atau membenarkan akaun mereka digunakan oleh pihak lain. “Penggunaan digital kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita. Sebab itu, selain memanfaatkan teknologi, kita juga perlu mengetahui risiko dan ancaman yang datang bersamanya,” katanya ketika berucap pada Program Keibubapaan Digital Siri IV bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Kapayan, anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini hari ini. Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata perkembangan teknologi digital telah mengubah cara masyarakat menjalankan pelbagai urusan termasuk transaksi kewangan, perniagaan dan permohonan bantuan kerajaan. Beliau berkata penggunaan pembayaran melalui kod respons pantas (QR) kini semakin meluas, termasuk dalam kalangan peniaga di pasar, sekali gus menunjukkan transaksi digital bukan lagi sesuatu yang asing dalam kehidupan masyarakat. “Begitu juga dengan pelbagai geran keusahawanan yang disediakan di seluruh negara. Banyak permohonan geran untuk usahawan, persatuan dan koperasi termasuk yang disediakan Kerajaan Persekutuan kini dibuat secara dalam talian,” katanya. Beliau bagaimanapun berkata penggunaan teknologi digital perlu diseimbangkan supaya masyarakat, khususnya golongan muda tidak terlalu tertumpu kepada telefon pintar sehingga mengabaikan tanggungjawab serta perkara lain yang penting dalam kehidupan. Ewon berharap perkongsian melalui program itu dapat meningkatkan pengetahuan ibu bapa dalam membimbing anak-anak menggunakan teknologi digital secara selamat, bertanggungjawab dan berhemah. “Saya akan terus menyokong inisiatif keibubapaan seperti ini yang bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat tetapi turut mengingatkan saya sendiri mengenai tanggungjawab sebagai seorang bapa,” katanya.– BERNAMA