August 28, 2026
Info X Reporters
Enam termasuk tiga wanita didakwa edar ekstasi
TAWAU: Enam individu didakwa di Mahkamah Majistret Tawau, di sini, atas pertuduhan mengedar 659.16 gram dadah jenis ekstasi dan memiliki 1.16 gram ketamin pada Jumaat. Tertuduh berusia 20 hingga 39 tahun itu ditahan pada Rabu lalu menerusi satu serbuan di sebuah rumah inap mewah di Taman Nordin, di sini. Mereka ialah Lisyanti Ibrahim, Andi Moh Arifai Tatta, Chang Vui Hiung, Sherlin Liew Zi Ling, Muhammad Haikal Daniel Azman dan Shazzreena. Berdasarkan kertas pertuduhan, keenam-enam tertuduh didakwa secara bersama mengedar dadah MDMA atau ekstasi seberat 659.16 gram di sebuah rumah inap di Taman Nordin, Jalan Kuhara, kira-kira jam 4.30 pagi, 26 Ogos lalu. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan itu kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Dalam pertuduhan berasingan, semua tertuduh mengaku bersalah memiliki ketamin seberat 1.16 gram mengikut Seksyen 12(2) akta sama. Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menetapkan 18 September depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Jeffery Kadison.-Info X
August 28, 2026
Info X Reporters
Jawatan KPD Kinabatangan bukan amanah ringan – Janeve
KINABATANGAN: Ketua Polis Daerah Kinabatangan yang baharu, Superintendan Janeve Sindih bertekad melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman masyarakat di daerah itu dengan penuh komitmen, ketegasan serta kebijaksanaan. Janeve yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berkata, pelantikan berkenaan bukan sekadar membawa perubahan pangkat dan gelaran, sebaliknya menjadi pengiktirafan terhadap amanah serta tanggungjawab lebih besar yang perlu dipikul. “Saya sedar jawatan Ketua Polis Daerah bukan satu jawatan yang ringan. Ia menuntut komitmen, ketegasan, kebijaksanaan dan kesediaan memikul tanggungjawab dalam apa juga keadaan. “Saya menerima pelantikan ini dengan penuh rasa rendah diri dan akan menjadikannya sebagai satu amanah yang dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kinabatangan, di sini, hari ini. Majlis berkenaan disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan turut dihadiri Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah, Datin Nurhayatie Farhana Abdullah. Turut hadir, Timbalan Ketua Cawangan khas Risikan dan Operasi Kontinjen Sabah, Asisten Komisioner Kamarudin Sulaiman; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil serta beberapa ketua polis daerah dan pegawai kanan PDRM. Sementara itu, Janeve turut merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan PDRM, khususnya kepimpinan PDRM Sabah, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya. Menurutnya, setiap kenaikan pangkat membawa bersama kepercayaan organisasi dan harapan lebih tinggi terhadap pegawai yang menerimanya. “Saya melihat hari ini bukan sebagai titik akhir kepada satu perjalanan, tetapi permulaan kepada amanah baharu. “Kepercayaan yang diberikan adalah satu tanggungjawab yang akan saya jaga,” katanya. Beliau turut menghargai pengorbanan isterinya, Chong Set Fui, yang juga Pengerusi PERKEP IPD Kinabatangan, serta anak-anak dan seluruh ahli keluarga sepanjang perkhidmatannya dalam PDRM. Katanya, di sebalik setiap kenaikan pangkat, pertukaran penempatan dan tuntutan tugas, terdapat pengorbanan isteri serta keluarga yang tidak selalu kelihatan. “Pencapaian yang diterima hari ini bukan kejayaan saya seorang, sebaliknya turut menjadi kejayaan keluarga yang banyak berkorban dan memberikan sokongan,” katanya. – Info X
August 28, 2026
BERNAMA
Ibu bapa, jurulatih jangan pandang ringan sakit lutut remaja
KUALA LUMPUR: Ibu bapa dan jurulatih sukan dinasihatkan supaya tidak menganggap sakit lutut berterusan dalam kalangan remaja sebagai kecederaan sukan biasa atau growing pains kerana ia mungkin merupakan tanda awal osteosarkoma, iaitu kanser tulang yang agresif. Osteosarkoma merupakan kanser tulang yang kerap menyerang kanak-kanak dan remaja, dengan kira-kira 75 peratus kes berlaku sebelum pesakit mencapai usia 25 tahun dan kadar insiden sebanyak 4.4 kes bagi setiap sejuta orang setahun. Pakar Bedah Onkologi Ortopedik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Tie Teck Liang berkata osteosarkoma lazimnya berkembang di sekitar kawasan lutut, menyebabkan simptomnya mudah disalah anggap sebagai kecederaan akibat aktiviti fizikal, seterusnya menyumbang kepada kelewatan diagnosis. “Biasanya, sakit akibat kecederaan sukan akan berkurangan dengan rehat dan ubat tahan sakit. Namun, jika sakit berterusan lebih dua minggu, kekal teruk atau ubat tahan sakit tidak lagi berkesan, perlu segera mendapatkan pemeriksaan doktor,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata corak kesakitan lebih penting untuk diberi perhatian berbanding tahap kesakitan semata-mata, terutama apabila kesakitan menyebabkan anak terjaga daripada tidur pada waktu malam, selain terdapat benjolan, kaki bengkak atau anak mula berjalan terincut-incut tanpa punca yang jelas. Mengulas mengenai kesukaran mengenal pasti osteosarkoma pada peringkat awal, Dr Tie berkata berbeza dengan kecederaan tisu biasa, tumor kanser boleh membesar dengan cepat dalam tubuh kanak-kanak serta melibatkan saraf dan saluran darah berdekatan, sekali gus menjadikan rawatan lebih kompleks. “X-ray merupakan langkah pertama yang lazim dalam menilai kesakitan tulang yang berterusan kerana ia boleh mendedahkan perubahan tulang yang tidak normal dan membantu doktor menentukan langkah seterusnya,” katanya. Beliau berkata sekiranya terdapat perubahan yang mencurigakan pada X-ray, pemeriksaan lanjut seperti pengimejan resonans magnetik (MRI) mungkin diperlukan untuk menentukan saiz tumor serta hubungannya dengan saraf dan saluran darah berhampiran. Dr Tie turut mengingatkan bahawa biopsi atau pengambilan sampel tisu perlu dirancang dengan teliti dan sebaiknya dilakukan oleh pakar bedah yang akan mengendalikan pembedahan muktamad pesakit bagi mengurangkan risiko pencemaran tisu. “Biopsi yang tidak dirancang dengan baik boleh mencemarkan tisu sekeliling, merumitkan proses rekonstruksi, meningkatkan risiko kanser berulang serta menambah risiko anggota badan perlu diamputasi,” katanya. Beliau berkata kemajuan dalam rawatan kini membolehkan pembedahan menyelamatkan anggota badan dilakukan bagi kes terpilih, termasuk melalui kaedah rekonstruksi biologi seperti krioterapi. Menerusi kaedah itu, bahagian tulang pesakit yang terjejas dibuang dan dirawat menggunakan nitrogen cecair pada suhu -196 darjah Celsius bagi memusnahkan sel kanser sebelum tulang berkenaan diimplan semula. “Kelebihannya ialah kita menggunakan tulang pesakit sendiri, sekali gus mengurangkan isu seperti ketidakpadanan saiz dan menyokong penyembuhan tulang semula jadi dalam beberapa kes. “Bagi kanak-kanak, pendekatan ini juga boleh membantu meminimumkan perbezaan panjang anggota serta mengekalkan fungsi jangka panjang,” katanya. Beliau berkata proses rawatan dan pemulihan, termasuk kemoterapi serta pembedahan boleh mengambil masa kira-kira setahun, namun diagnosis awal penting bagi meningkatkan peluang mengekalkan anggota badan dan membolehkan pesakit kembali menjalani kehidupan aktif dan normal.– BERNAMA
August 28, 2026
BERNAMA
Jerebu berisiko jejas individu sihat jika terdedah berpanjangan – Pakar
KUALA LUMPUR: Jerebu bukan sahaja memberi risiko kesihatan kepada golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit asma namun boleh menjejaskan individu sihat sekiranya terdedah kepada pencemaran udara secara berpanjangan. Pakar Perunding Kanan Perubatan Kecemasan Universiti Malaya Prof Datuk Dr Rishya Manikam berkata zarah halus dalam jerebu boleh memasuki saluran pernafasan secara berterusan, sekali gus meningkatkan risiko masalah seperti batuk, selesema, sakit tekak dan kesukaran bernafas. “Tidak semestinya kerana kita sihat, jerebu tidak akan mengganggu kita. Kalau itu persepsinya, perkara itu salah,” katanya menerusi program Fokus 15 bertajuk “Bila Setiap Nafas Jadi Risiko” terbitan Bernama TV di sini, hari ini. Dr Rishya berkata kesan pendedahan terhadap pencemaran udara lebih cepat dirasai oleh golongan yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan penyakit paru-paru kronik serta kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas. Sehubungan dengan itu, beliau berkata peningkatan gejala pernafasan ketika musim jerebu tidak seharusnya dianggap sebagai perkara biasa kerana jangkitan lain juga boleh berlaku dan memerlukan pemeriksaan doktor. Katanya, antara simptom yang memerlukan rawatan segera termasuklah sakit atau dada berasa sempit, tercungap-cungap ketika melakukan aktiviti yang biasanya tidak menyebabkan keletihan, demam serta batuk berkahak secara berterusan. “Masyarakat disaran memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di kawasan masing-masing dan mengurangkan aktiviti luar apabila tahap pencemaran meningkat. “Kalau boleh, sekiranya tempat itu IPU tinggi, jangan buat aktiviti luar kerana lebih banyak kita buat aktiviti luar, lebih laju pernafasan kita, lebih banyak zarah itu masuk ke saluran pernafasan,” katanya. Beliau turut menasihati pesakit asma untuk sentiasa membawa inhaler selain orang ramai disaran mendapatkan rawatan awal sekiranya gejala bertambah teruk.— BERNAMA
August 28, 2026
Info X Reporters
Menyamar penguat kuasa, minta RM1,500 daripada warga asing
PENAMPANG: Helah dua lelaki menyamar sebagai pegawai penguat kuasa terbongkar selepas mereka gagal menunjukkan kad kuasa ketika dipercayai cuba memeras ugut seorang warga asing di Kampung Koidupan Sugud, di sini, tengah malam tadi. Dalam kejadian 12.10 tengah malam itu, kedua-dua suspek berusia 19 dan 28 tahun memakai pakaian menyerupai seragam sebuah agensi penguat kuasa sebelum meminta mangsa menunjukkan dokumen pengenalan diri. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek kemudian mendakwa mangsa melakukan kesalahan kerana gagal mengemukakan pasport. “Kedua-dua suspek dipercayai meminta bayaran RM1,500 daripada mangsa kononnya bagi menyelesaikan kesalahan berkenaan. “Bagaimanapun, apabila diminta menunjukkan kad kuasa, mereka tiba-tiba cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kedua-dua suspek berjaya ditahan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Katanya, polis turut merampas beberapa helai pakaian menyerupai seragam sebuah agensi penguat kuasa yang dipercayai digunakan kedua-dua suspek. “Kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan pemerasan serta menyamar sebagai penjawat awam. “Sabit kesalahan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, suspek boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau didenda atau disebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu,” katanya. Sammy berkata, Seksyen 170 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Sementara itu, Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap individu yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa. “Sebarang kejadian atau perlakuan mencurigakan hendaklah segera dilaporkan kepada polis,” katanya. – Info X
August 27, 2026
BERNAMA
Inkues Zara: Tulisan tangan pada beberapa helaian kertas sepadan dengan “Wina”
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa beberapa helaian kertas yang diperiksa berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir menunjukkan persamaan dengan tulisan tangan seorang individu dikenal pasti sebagai “Wina”. Pemeriksa dokumen forensik Tay Eue Kam berkata tulisan pada helaian Y9B, Y10A dan Y10B memiliki persamaan dengan Wina berdasarkan kesan yang ditemukan pada halaman 50i jurnal “Love And Peace” berwarna hijau zaitun yang ditandakan sebagai WK9. Beliau berkata demikian ketika disoal peguam Joan Goh, yang mewakili seorang daripada remaja yang didakwa dalam kes buli membabitkan Zara Qairina. Tay berkata kesan lekukan pada halaman 50i WK9 didapatkan semula menggunakan Alat Pengesan Elektrostatik (ESDA), dan bersetuju bahawa ia mungkin berasal daripada halaman yang hilang atau terkoyak, atau halaman lain yang sebelum ini diletakkan di atas halaman 50. Bagaimanapun, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai spesimen tulisan tangan sebenar Wina untuk dibuat perbandingan. “Saya tidak mempunyai spesimen tulisan (sebenar) Wina tetapi apa yang saya ada ialah tulisan tangan yang dinyatakan sebagai milik Wina pada halaman 50i dokumen WK9,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding inkues kematian Zara Qairina, di sini, hari ini. Ditanya sama ada Wina wujud atau sebaliknya, Tay menjawab: “Saya tidak tahu”. Beliau juga berkata Y9B, Y10A dan Y10B diletakkan dalam kumpulan yang sama susulan perbandingan membabitkan catatan daripada Y1A hingga Y15B. Laporan beliau menyebut terdapat perbezaan antara catatan tulisan tangan dalam kumpulan itu dengan spesimen tulisan tangan Zara Qairina sekali gus memberikan keterangan yang kukuh bahawa Zara Qairina bukanlah penulis catatan berkenaan. Kepada soalan sama ada Y9B, Y10A dan Y10B ditulis oleh Wina, Tay berkata ciri-ciri tulisan itu adalah serupa dengan Wina, iaitu individu yang dikenal pasti sebagai penulisnya. Mengenai kandungan Y9B yang menyentuh perkara berkaitan ibu Zara Qairina, Tay berkata beliau bukan orang yang tepat untuk menjelaskan perkara itu. Semasa sesi soal jawab lanjut, saksi itu berkata laporannya tidak mengandungi carta perbandingan khusus bagi Y9B, Y10A dan Y10B walaupun beliau menegaskan bahawa persamaan dan perbezaan telah dianalisis. Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas pelajar Tingkatan Satu itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi. Prosiding inkues dijadualkan bersambung dari 7 hingga 11 Sept, dengan Pakar Perunding Psikiatri Forensik Dr Chua Sze Hung dan Pegawai Bahagian Pemeriksaan Dokumen Jabatan Kimia Nurul Atiqah Mohd Noh dijangka dipanggil semula untuk memberi keterangan. Menyusul selepas itu keterangan bapa dan kakak tiri Zara Qairina manakala pemeriksaan di lokasi kejadian atau locus in quo ditetapkan pada 5 Okt ini. – BERNAMA
August 27, 2026
Info X Reporters
Warga emas dipenjara 15 tahun, sebat 10 kali selepas mengaku rogol anak kandung
LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas dihukum penjara 15 tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah merogol anak kandungnya ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Khamis. Tertuduh berumur 61 tahun itu didakwa merogol anak perempuannya yang ketika kejadian berusia 12 tahun tiga bulan, iaitu pada Februari tahun lalu. Bekas pekerja kilang itu membuat pengakuan bersalah pada Khamis selepas pihak pendakwaan memanggil enam saksi untuk memberi keterangan pada Rabu, iaitu hari pertama perbicaraan kes tertuduh. Hakim Suhailla Selag kemudian mensabitkan tertuduh atas pertuduhan yang dihadapinya sebelum menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini dan 10 sebatan. Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak kandungnya di sebuah rumah di Kunak, kira-kira jam 11 malam pada Februari tahun lalu. Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta boleh dikenakan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan. Selain hukuman itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan di bawah Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sepanjang tempoh tahanannya. Tertuduh juga diperintah berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara, mengikut Seksyen 27 akta sama. Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shearil Aizad Murnizam, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X
August 27, 2026
Info X Reporters
Lelaki dipenjara 36 bulan kerana memiliki beruk, tenggiling
TAWAU: Seorang lelaki dipenjara masing-masing 36 bulan dan 24 bulan selepas mengaku bersalah memiliki dua jenis hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Khamis. Tertuduh, Jufrie Abu, 42 berdepan pertuduhan memiliki seekor beruk (Macaca nemestrina) dan seekor tenggiling (Manis javanica) ketika diperiksa Jabatan Hidupan Liar Sabah di Kampung Kalumpang, Jalan Tawau-Semporna pada kira-kira jam 11 malam, 10 Jun lalu. Kedua-dua spesies hidupan liar itu dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan pemilikan tanpa kebenaran yang sah adalah satu kesalahan. Berikutan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman 36 bulan penjara bagi pertuduhan memiliki tenggiling dan 24 bulan penjara bagi pertuduhan memiliki beruk. Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman dijalankan serentak bermula dari tarikh sabitan. Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar Sabah, Primus Lambut. Sementara itu, Jabatan Hidupan Liar Sabah menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang memiliki atau mengendalikan hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran yang sah. Jabatan itu mengingatkan orang awam supaya tidak memiliki atau memperdagangkan hidupan liar dilindungi secara haram dan hendaklah menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti itu kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah. – Info X